Nasional

Raja Perlis perkenan MAIPs salur RM7.2 juta bantu golongan terjejas sepanjang PKP

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail memperkenankan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan RM7.2 juta untuk tujuan menjayakan pelbagai inisiatif dalam membantu golongan asnaf di negeri ini yang terjejas teruk kehidupan mereka ekoran pelaksanaan penutupan sektor sosial dan ekonomi (lockdown) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Demikian menurut siaran media MAIPs yang diumumkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

“Mendepani suasana mencabar yang melanda rakyat, MAIPs amat menjunjung kasih atas limpah kurnia Tuanku Raja yang memperkenankan peruntukan khas yang amat besar ini dan berbaiah setia untuk terus menjunjung titah dan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh baginda,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, pelbagai inisiatif yang telah dirancang akan diperincikan untuk tindakan pelaksanaan yang diharapkan akan mampu meringankan beban hidup kepada semua mereka yang berkeperluan sepertimana yang diharapkan oleh para penyumbang zakat melalui MAIPs. Selain segala inisiatif yang diaturkan melalui jumlah peruntukan tersebut, MAIPs juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif sebagai persediaan sekiranya terdapat kehendak baharu seperti contoh jika berlakunya pelanjutan tempoh lockdown atau terdapat keperluan-keperluan wajar yang lain.

Dalam hubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor pula menambah bahawa pihak MAIPs akan mengumumkan mengenai pengagihan sumbangan dan pelaksanaan inisiatif yang telah dikenalpasti secara khusus dalam sedikit masa lagi.

“MAIPs akan sentiasa berusaha memastikan segala inisiatif yang dilaksanakan ini, akan mengambil kira pelbagai faktor, termasuklah keadaan semasa dan keperluan mendesak yang akan memberi manfaat kepada mereka yang disasarkan,” jelas beliau.

Gambar Fail

(Visited 227 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button