Politik

Presiden, setiausaha agung tiada kuasa ubah keputusan MPP – Saifuddin

PRESIDEN dan Setiausaha Agung tidak mempunyai kuasa mengubah keputusan pemecatan dua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Sabtu lepas, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya kenyataan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden dan beliau mempunyai kuasa untuk berbuat demikian adalah bertentangan dengan amalan dan perlembagaan parti.

“Dalam perlembagaan parti ia tidak memberi kuasa mengubah atau menarik keputusan (pemecatan) yang telah dibuat itu kepada presiden atau setiausaha agung.

“Tetapi perlembagaan parti membenarkan seseorang yang dipecat mengemukakan rayuan dalam tempoh tertentu yang kemudiannya akan diteliti panel rayuan parti untuk tindakan lanjut,” katanya di Putrajaya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Ahmad Kasim bahawa hanya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin selaku Setiausaha Agung boleh membuat keputusan sama ada pemecatan Anggota MPP Zakaria Abdul Hamid dan Ismail Dulhadi pada Sabtu lepas perlu ditarik balik atau dikekalkan.

Saifuddin Nasition yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementerian itu hari ini.

Beliau berkata isu menarik balik pemecatan itu tidak timbul biarpun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui wujud kekhilafan berhubung surat yang mencadangkan tindakan tatatertib ke atas dua individu tersebut kerana melanggar kod etika parti.

Saifuddin Nasuiton berkata kekhilafan menghantar surat itu kepada parti politik hanyalah ‘kekhilafan prosedur’ tetapi ia tidak mengubah fakta kes, kandungan atau padangan SPRM yang menyebut tentang salah laku di dalam surat tersebut.

“Kita jangan terkalih dari fakta ini kerana yang paling penting adalah perakuan dan pandangan SPRM setelah melakukan siasatan berbulan-bulan bahawa berlaku salah laku melibatkan individu berkenaan yang perlu diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini keputusan pemecatan itu kekal dan pihaknya dalam proses menghantar surat pemakluman kepada individu terlibat.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata beliau sedang mendaptkan maklumat daripada Pengerusi PKR Melaka dan Pejabat Ketua Menteri Melaka berhubung tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR bertindak keluar dewan sebelum pengundian usul pelantikan Pengerusi PKR Melaka Datuk Halim Bachik sebagai Ahli Dewan Negara dibuat, semalam.

Tindakan itu menyebabkan usul yang dibawa Ketua Menteri Adly Zahari pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ditolak selepas pengundian yang menyaksikan 13 Adun menolak, 12 Adun menyokong dan tiga Adun berkecuali, di mana dua daripadanya adalah dari PKR.

Saifuddin Nasution berkata setelah semua maklumat dikumpul, beliau akan membentangkan perkara itu pada mesyuarat biro politik dalam waktu terdekat bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil selanjutnya.

Beliau juga mengakui cadangan pelantikan itu adalah di dalam pengetahuan PKR kerana telah menerima surat daripada Ketua Menteri Melaka berkenaan nama yang dicadangkan untuk dibentang dalam sidang DUN tersebut. – BERNAMA

(Visited 75 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button