Negeri

Raja Perlis menitahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat negeri Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid menitahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat negeri Perlis yang dikasihi, semua kerabat DiRaja serta rakan taulan di mana sahaja mereka berada.

‘Didoakan agar segala ibadah yang kita sama-sama laksanakan diredhai dan diberkati oleh Allah SWT serta mampu menyucikan hati serta membuka 1001 pintu rezeki untuk kita yang telah berjaya menikmati zatnya, Insyaallah’.

Baginda berdua juga mengajak semua untuk terus menerus mendoakan semoga pandemik COVID-19 ini akan segera dapat di atasi, seluruh rakyat sentiasa dikurniakan kesejahteraan dan perlindungan keselamatan oleh Allah SWT dan pada masa yang sama memastikan segala SOP yang ditetapkan dipatuhi dengan sebaik mungkin”.

Demikian menurut kenyataan Istana Arau.

Sambutan Lebaran kali ini sepertimana 2020 adalah berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini yang mana baginda berdua secara lazimnya akan menerima sembah mengadap ribuan rakyat jelata di Dataran Majlis Istana Arau pada hari raya pertama sejurus selesai solat sunat Aidilfitri. Pada semalam baginda berdua hanya meraikannya bersama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta cucunda-cucunda iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail di Istana Arau.

Terdahulu daripada itu pada sebelah paginya Tuanku Raja dan Tuanku Raja Muda berkenan berangkat menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di ‘lapangan’ iaitu di Dataran Istiadat Istana Arau bersama kepimpinan negeri serta anak-anak kariah Bandar DiRaja Arau.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada semua yang mempersembahkan ucapan dan juga bingkisan Aidilfitri kepada baginda berdua seisi keluarga melalui pelbagai medium yang tidak dapat dijawab dan juga dibalas satu persatu.

(Visited 801 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button