Negeri

Raja Perlis lancar Garis Panduan Lagu Rasmi Negeri Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat melancarkan ‘Garis Panduan Lagu Rasmi Negeri Perlis’ beserta gubahan baharu lagu berkenaan.

Pelancaran tersebut disempurnakan baginda pada program ‘Wacana Wangsa Jamalullail’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena Sambutan Ulangtahun Keputeraan yang ke-79 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis di Dewan Auditorium Dr. Syed Mahmood Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Kangar pada petang tadi.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.


Terdahulu daripada itu “Sesi Lagu Rasmi Negeri Perlis” dibentangkan oleh Tan Sri Dato’ Seri Syed Danial bin Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia merangkap Ahli Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis kepada sekalian yang hadir.

Turut diadakan ialah pembentangan “Pelan Pembangunan Negeri Perlis” oleh pihak Bahagian Perancang Ekonomi Negeri disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Rusdi Yahya dan “Pelan Strategik MAIPs 2021-2025” yang dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Sebagai makluman, selain gubahan terkini lagu berkenaan yang telah dimantapkan sesuai dengan ketinggiannya sebagai lambang jatidiri Negeri, terdapat perubahan perkataan “Rabbal Jalil” kepada “Rabbil Jalil” pada seni katanya mengambil kira ketepatan tatabahasa Arab.

Garis panduan Lagu Rasmi Negeri Perlis memberikan penekanan kepada 2 versi lagu iaitu Versi DiRaja di mana ianya adalah Lagu Negeri tanpa nyanyian yang hendaklah dimainkan pada mana-mana peristiwa sebagaimana yang diperkenankan oleh Tuanku Raja manakala versi penuh iaitu Lagu Negeri dengan nyanyian yang boleh dimainkan dan dinyanyikan pada majlis rasmi atau separa rasmi bagi maksud menghormati Lagu Negeri termasuk di sekolah-sekolah bagi maksud mengajar murid-murid menyanyi Lagu Negeri serta pada mana-mana majlis yang difikirkan sesuai.

Selain itu, garis panduan berkenaan turut memperjelaskan Seksyen 4 Enakmen Lagu Negeri Perlis 2021 yang menetapkan semua yang mendengar agar berdiri sebagai tanda hormat kepada lagu negeri iaitu berdiri dalam keadaan sedia, kepala menunduk sedikit, dan tidak mendongak ke atas bagi menunjukkan sikap merendah diri, sesuai dengan isi kandungan lagu.

Walaubagaimnapun, tatacara berkenaan dikecualikan ketika meraikan kemenangan dalam program sukan atau ketika Bendera Negeri sedang dinaikkan.

Selain itu, setiap yang mendengar atau menyanyikan lagu hendaklah meletakkan tangan kanan diletakkan di atas tangan kiri serta diletakkan di hadapan bahagian bawah.

Dalam melaksanakan tatacara berkenaan, pihak pakaian beruniform adalah dikecualikan dari pematuhan dan terikat dengan tatacara sedia ada.

(Visited 364 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button