Agama

Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis berangkat ke majlis berbuka puasa

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat meraikan lebih 200 tetamu dalam majlis berbuka puasa di Dewan Bankuasi, Istana Arau pada malam semalam.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Majlis berkenaan yang turut dihadiri undangan dalam kalangan kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan, anak-anak yatim dan warga emas daripada beberapa buah rumah kebajikan serta bekas-bekas kakitangan Istana Arau itu dimulakan dengan majlis berbuka puasa yang disusuli dengan solat Maghrib, tazkirah oleh Mufti Perlis Dato Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah diimamkan oleh Imam Besar Negeri, Ust Ahmad Sirajuddin Abdul Satar dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Terdahulu daripada itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik penganugerahan ‘Bantuan Peruntukan Daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Kepada 35 Buah Institusi Pendidikan Islam Seluruh Perlis Bagi Tahun 2022’ berjumlah RM39,095,466.

Tuanku Tengku Fauziah pula berkenan menganugerahkan sumbangan kepada 39 orang anak yatim dan warga emas terpilih yang hadir.


Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan turut meraikan hari ulangtahun ke 13 cucunda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra yang telah diputerakan pada 12 April 2009 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dengan upacara memotong kek. Bacaan doa kesyukuran dipimpin oleh Ust Ahmad Sirajuddin dengan harapan semoga Syed Sirajuddin Areeb Putra terus dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan hidup, dimurahkan rezeki serta dipelihara oleh Allah SWT sentiasa.

Untuk rekod, antara penerima dalam kalangan Institusi Pendidikan Islam Negeri Perlis tersebut adalah Sek Agama Al Islahiyah Menengah (SAIM) Behor Mali, Sek Agama Al Islahiyah (SAIR) Behor Mali, Maahad At Tarbiyah Al Islamiyah (MATRI), Sek Ren At Tarbiyah Al Islamiyah (SRAATI),
Sek Men Agama Al Maad Arau, Madrasah Diniah Al Islamiyah Jejawi, Sek Ren Islam Al Furqan Jejawi, Sek Ren Islam At Taqwa Beseri, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Maahad Tahfiz Al Hikmah Pauh, Maahad Tahfiz Miftahul Hidayah, Maahad Tahfiz Nurus Saadah, Maahad Tahfiz Al Quran Wal Hadeeth Bukit Jernih, Maahad Tahfiz Al Quran Darus Sunnah Pdg Melangit, Maahad Tahfiz Al Quran Al Barakah Sempering, Maahad Tahfiz Al Quran Ar Raudhah Mengkuang Layar, Sek Rendah Islam I Jalan Abi Tok Hashim, Sek Rendah Islam II Felda Mata Ayer, Sek Ren Islam III Felda Chuping, Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs), Maahad Tahfiz Al Masyur, Maahad Tahfiz Baitul Rahim, Maahad Tahfiz Al Bayan, Maahad Tahfiz Al Quran An Nur Diniyah Sanglang, IKAF Quranic Academy Iqra International Khair, Maahad Tahfiz Al Quran Nur Intibah Changkat Lada, Madrasah Tahfiz Al Muqarrabin Beseri, Sek Ren Islam Al Azhar ( SRIAZ), Sek Ren Islam Mithali Aqrab (SRIMA), Al Fasoha Academy of Arabic Repoh, Maahad Tahfiz Al Quran Al Barakah lil Banat, Maahad Tahfiz Ilmu Al Quran Perlis (MATIQPs), Maahad Tahfiz Al Hikmah lil Banat, Markaz Al Iman Darul Falah Ummi Aisyah dan Pusat Ihya Sunnah (PIUS).

(Visited 121 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button