Politik

Marzuki sangkal Mohd Radzi, Bersatu tak pernah keluar Pakatan Harapan

SELANG beberapa jam sahaja selepas Ketua Penerangan Parti Bersatu, Dr Mohd Radzi Md Jidin mendedahkan parti itu telah keluar dari Pakatan Harapan (PH), Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya pula tampil menyangkal keras dakwaan tersebut.

Tegas Marzuki dalam satu kenyataan malam ini, Bersatu tidak pernah keluar dari gabungan itu, sekali gus menolak kenyataan Mohd Radzi bahawa parti itu tidak lagi mempunyai hubungan kerjasama dengan PH.

Apa yang sebenarnya berlaku dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti pada 23 Februari lalu seperti mana disebut oleh Mohd Radzi, kata beliau, adalah “tiada keputusan secara rasmi untuk Bersatu keluar daripada PH”.

“Walaupun perkara tersebut dibahaskan tetapi pada akhirnya keputusan sebulat suara memberi sepenuhnya kepercayaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Bersatu untuk membuat keputusan.

“Maka kenyataan bahawa kononnya keputusan MPT untuk Bersatu keluar dari PH adalah tidak tepat dan salah sama sekali.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa hanya dua perkara yang amat jelas diputuskan pada mesyuarat terakhir MPT sebagai badan eksekutif tertinggi Bersatu keesokannya pula iaitu pada 24 Februari 2020 yakni sebulat suara menolak perletakan jawatan Dr. Mahathir sebagai pengerusi dan sebulat suara menamakan Dr. Mahathir sebagai calon tunggal jawatan Perdana Menteri.

“MPT Bersatu tidak pernah sama sekali bersetuju untuk parti mengadakan sebarang hubungan dengan UMNO dan Pas serta tidak ada keputusan atau perbincangan secara rasmi untuk mewujudkan Perikatan Nasional (PN) dan menubuhkan kerajaan bersama.

“Malah, MPT BersatuU dalam mesyuarat 23 dan 24 Februari itu tidak pernah membuat keputusan untuk BERSATU keluar daripada PH atau tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan gabungan tersebut,” kata beliau kepada Suara Merdeka.

Marzuki mengulas kenyataan Mohd Radzi petang tadi bahawa Dr Mahathir tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani Kenyataan Bersama PH, Bersatu dan Parti Warisan Sabah bertarikh 4 Mei 2020.

Menurut ketua penerangan Bersatu itu, sebarang usaha untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan PH adalah bercanggah dengan keputusan rasmi parti.

Serentak itu, Mohd Radzi mengingatkan mana-mana ahli yang ingkar termasuk dengan sengaja menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahliannya secara serta-merta menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

Marzuki seterusnya mengingatkan kepemimpinan utama parti bahawa kuasa mutlak untuk memimpin Bersatu adalah Dr. Mahathir selaku pengerusinya.

Ia, tegas beliau, selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan perlembagaan parti.

“Segala tindak tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Dr Mahathir sebagai penyandang jawatan pengerusi.

“Ia selaras dengan Fasal 16.2 parti bahawa tugas-tugas pengerusi adalah menjadi pengerusi dan pemimpin utama parti yang bertanggungjawab menjamin kelicinan keseluruhan perjalanan pentadbiran serta dasar parti.

“Pengerusi juga mempunyai kuasa memanggil dan mempengerusikan mesyuarat MPT,” kata beliau.

Dalam aspek ini, Marzuki menjelaskan, Bersatu tidak pernah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Justeru, keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen Bersatu tidak boleh merubah ketetapan keputusan MPT dan keputusan Bersatu tidak terikat dengan keputusan itu.

“Di manakah salah laku yang dilakukan oleh Dr Mahathir yang melanggar peraturan parti sehingga boleh menggugurkan keahlian beliau sebagai seorang Ahli Parlimen Langkawi?

“Beliau berhak memutuskan apa jua keputusan berlandaskan mandat yang diberi oleh rakyat pengundi di Langkawi.

“Maka, kenyataan bahawa gugur keahlian secara automatik menurut fasa 10.2.3 adalah tidak terpakai langsung,” kata beliau.

Tegas Marzuki lagi:
“Persoalan saya kepada Mohd Radzi ialah siapa yang melanggar keputusan MPT Bersatu? Di manakah kenyataan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz yang melanggar peraturan dan keputusan parti yang dibolehkan keahliannya tergugur.

“Sepatutnya sebagai Ketua Penerangan yang berada dalam mesyuarat MPT, beliau seharusnya berpegang teguh kepada keputusan mesyuarat dan bukannya membelakangi keputusan yang dibuat.” – SM

(Visited 322 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button