Kemalangan

Warga emas tertekan pedal minyak, kereta rempuh restoran Tom Yam

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 6 Mei – Pelanggan yang sedang menikmati makanan di sebuah Restoran Tom Yam Sri Andalas di Jalan
Puteri Hang Li Poh, Bukit Baru dekat sini tergamam apabila sebuah kereta Perodua Kancil merempuh masuk
ke dalam kedai tersebut.

Dalam kejadian pukul 7.15 petang semalam itu menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut apabila sebahagian
besar pelanggan yang sedang menjamu selera bingkas bangun cuba menyelamatkan diri apabila dikejutkan
dengan sebuah kereta tiba-tiba merempuh masuk ke kedai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, akibat rempuhan tersebut
seramai enam pelanggan mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila seorang pelanggan berusia 66 tahun yang baru selesai makan di
restoran tersebut menghidupkan kenderaannya.

Kereta Perodua Kancil yang terbabit merempuh sebuah restoran di Bukit Baru, Melaka

“Secara tidak disengajakan pemandu terbabit tertekan pedal minyak kereta yang dipandunya lalu menyebabkan
kenderaan itu merempuh masuk ke dalam restoran tersebut ketika pelanggan sedang menikmati makanan,”
ujarnya di sini hari ini.

Beliau berkata, kenderaan itu turut merempuh dinding restoran tersebut dan pemandunya yang bekerja sendiri
tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan mendapati kenderaan terbabit
sudah dialihkan.

Jelasnya, kesemua mangsa yang cedera berusia antara setahun hingga 56 tahun telah mendapat rawatan di zon
hijau di Hospital Melaka.

Ujarnya lagi, restoran berkenaan rosak pada bahagian dinding dapur serta beberapa meja dan kerusi rosak
teruk dirempuh kenderaan tersebut.

Kes diklasifikasikan mengikut Rule 10 LN166/59 kerana lalai dalam mengawal pergerakan kenderaan dengan baik.

 

(Visited 2,035 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button