EkonomiNasional

Ekonomi Malaysia berkembang 2.9% pada suku kedua

EKONOMI Malaysia berkembang sederhana pada suku kedua tahun 2023 (2.9%; S1 2023: 5.6%), disebabkan terutamanya oleh permintaan luaran yang lebih perlahan. Permintaan dalam negeri kekal sebagai pendorong utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan swasta dan pelaburan.

Perbelanjaan isi rumah disokong oleh pertumbuhan selanjutnya dari segi guna tenaga dan upah.

Sementara itu, aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan kapasiti, pelaksanaan projek berbilang tahun yang berterusan dan perbelanjaan aset tetap yang lebih tinggi oleh kerajaan.

Kemasukan pelancong asing yang terus pulih sebahagiannya mengimbangi pertumbuhan eksport barangan yang lebih perlahan.

Pertumbuhan pada suku kedua juga dipengaruhi oleh kesan asas yang tinggi pada suku kedua tahun 2022 apabila ekonomi mencatatkan pertumbuhan yang kukuh berikutan kesan pembukaan semula ekonomi dan
langkah-langkah dasar.

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan pembinaan terus menyokong pertumbuhan. Sementara itu, pengeluaran dalam sektor pertanian dan perlombongan terjejas akibat cuaca panas dan penyelenggaraan loji. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 1.5% (S1 2023: 0.9%).

Inflasi keseluruhan pada suku kedua terus sederhana kepada 2.8% (S1 2023: 3.6%). Penurunan dicatatkan oleh inflasi bukan teras dan inflasi teras.

Bagi inflasi bukan teras, makanan segar dan bahan api menyumbang kepada penurunan tersebut. Inflasi teras pula kekal tinggi berbanding dengan purata jangka panjang (purata tahun 2011 hingga 2019: 2.1%), meskipun
mencatatkan penurunan.

Inflasi teras yang sederhana (S2 2023: 3.4%; S1 2023: 3.9%) sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan terpilih. Perkhidmatan tersebut termasuk makanan di luar rumah, perkhidmatan telefon dan telefaks serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian.

Rebakan inflasi berkurang apabila bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menjadi sederhana kepada 42.7% pada suku kedua (S1 2023: 56.0%), iaitu di bawah purata jangka panjang suku kedua (tahun 2011 hingga 2019) sebanyak 43.9%. Yang penting, rebakan inflasi menurun pada bulan Jun selepas kenaikan sementara pada bulan Mei berikutan musim perayaan.

Perkembangan kadar pertukaran Perkembangan global terus menjadi faktor utama yang mendorong keadaan
kewangan domestik pada suku kedua tahun 2023.

Sentimen pasaran kewangan global terjejas disebabkan oleh kebimbangan berhubung dengan
prospek pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan dan pemulihan ekonomi di China yang lebih lemah daripada jangkaan.

Kebimbangan ini semakin bertambah berikutan kebimbangan terhadap krisis had hutang tertinggi
AS dalam tempoh dua bulan pertama suku kedua, bersama-sama dengan jangkaan semasa pasaran kewangan bahawa dasar monetari akan terus diperketat di ekonomi-ekonomi maju.

Harga komoditi dan permintaan semikonduktor global yang lebih rendah juga menjejaskan pasaran kewangan
domestik.

Berikutan perkembangan ini, nilai ringgit menurun sebanyak 5.8% pada suku kedua tahun 2023. Walau bagaimanapun, ringgit telah meningkat sebanyak 1.1% dalam tempoh suku ketiga setakat ini (setakat 15 Ogos 2023) berikutan jangkaan yang semakin meningkat bahawa pengetatan dasar monetari di AS
hampir berakhir.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau keadaan kewangan global serta domestik dengan teliti serta memastikan pelarasan pasaran kekal teratur.

Keberadaan BNM dalam pasaran pertukaran asing adalah untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

Keadaan pembiayaan Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan menjadi sederhana
kepada 3.8% (S1 2023: 4.1%) disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul yang lebih perlahan.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat kepada 4.9% (S1 2023: 4.4%).

Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 0.7%, disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan yang lebih rendah dalam pinjaman modal kerja kepada syarikat bukan PKS.

Namun begitu, pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan kekal mampan, dengan mencatatkan pertumbuhan yang stabil bagi pembelian aset tetap dan harta tanah bukan kediaman.

Bagi isi rumah, pinjaman terkumpul berkembang sebanyak 5.1%, didorong terutamanya oleh pinjaman bagi pembelian harta tanah kediaman dan kereta.

Bagi tempoh seterusnya pada tahun 2023, pertumbuhan akan kekal sederhana berikutan rintangan luaran tetapi terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.

Dengan persekitaran global yang mencabar, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang hampir kepada julat yang lebih rendah antara 4.0% hingga 5.0% pada tahun 2023.

Pertumbuhan akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri berikutan peningkatan guna tenaga dan pendapatan serta pelaksanaan projek berbilang tahun.

Ketibaan pelancong dijangka terus meningkat, lantas akan menyokong aktiviti berkaitan pelancongan.

Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour menjelaskan, “Risiko terhadap prospek pertumbuhan
Malaysia bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi semakin perlahan yang berpunca terutamanya daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan.

“Walau bagaimanapun, terdapat faktor risiko pertumbuhan menjadi lebih ting gi seperti aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan projek yang lebih pantas.”

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan terus sederhana pada separuh kedua tahun 2023 Bagi separuh kedua tahun 2023, trend inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan lebih rendah mengikut jangkaan.

Hal ini sebahagiannya disebabkan oleh asas yang lebih tinggi bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.

Walau bagaimanapun, risiko terhadap prospek inflasi bergantung pada perubahan terhadap dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan.  – SM

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button