Nasional

Raja Muda seru rakyat Perlis kekalkan status ‘Hijau’

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak rakyat negeri ini supaya sentiasa ‘Think Red, Protect Green’ dengan berwaspada dan berfikir seperti berada di kawasan ‘Merah’ namun setiap aktiviti pencegahan hendaklah dilaksanakan bagi melindungi negeri Perlis yang masih kekal ‘Hijau’ pada ketika ini.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat singgah mengadakan tinjauan ke projek pembinaan Kompleks Mahkamah Baharu Kangar di Mukim Seriab yang dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan sempena program ‘MAIPs Peduli Kali ke 52 bagi tahun 2020’ yang bermula dan berakhir di perkarangan Taman Bunga Kertas Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Kangar pada petang semalam.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Pegawai Penguasa Projek yang dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan berkenaan iaitu Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Ir Syed Zubir Syed Husin yang hadir mempersembahkan taklimat dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Mohd Nazim, Tuanku Raja Muda terdahulu berkenan menjayakan pelancaran kempen ‘Bulan Kesedaran Barah Payudara Peringkat MAIPs bagi Zon Kangar’ dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri
yang disekalikan dengan inisiatif ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat dan Bersih’. Sebanyak tiga buah keluarga asnaf terpilih turut menerima sumbangan agihan zakat MAIPs daripada baginda.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa sehingga 20 Oktober 2020 pukul 12:00 tengah hari, negeri Perlis mencatatkan sejumlah 38 kes COVID-19 yang didaftarkan di negeri ini; 36 kes telah sembuh dan 2 kematian.

Menurut beliau, penularan COVID-19 di negeri ini boleh terus dicegah melalui pergerakan ke luar negeri Perlis terutamanya ke kawasan-kawasan zon merah hendaklah ditangguh atau dibatalkan.

Jelas Sirajuddin, jika atas keperluan yang mendesak, laporkan sejarah pergerakan tersebut kepada Pejabat Kesihatan Kangar bagi tindakan selanjutnya seperti saringan COVID-19 dan arahan pemantauan dan pengawasan di rumah selama tidak lebih 14 hari.

Pada masa yang sama, ‘Jika mengetahui ada kemasukkan individu dari luar Perlis terutamanya dari zon merah, maklumkan kepada pihak berkuasa’.

Tambah beliau, ‘Majikan juga perlu memainkan peranan dengan memantau anggota kerja masing-masing terutamanya yang tinggal dan berulang dari k awasan berisiko atau melakukan perjalanan ke sana’.

Berbalik kepada projek Kompleks Mahkamah Baru Kangar yang melibatkan bangunan 3 tingkat bagi menempatkan 1 Mahkamah Tinggi, 2 Mahkamah Seksyen dan 2 Mahkamah Majistret itu, Syed Zubir menerangkan bahawa kemajuan kerja sebenar sehingga kini ialah 85%.

(Visited 516 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button