AgamaNegeriRencah Hidup

Fatwa Perlis: Aib anak zina dipelihara, tutup gosip liar

ANAK tidak sah taraf, ada jalan penyelesaiannya di dalam Islam. Bukan bermakna Islam menggalakkan penzinaan, tetapi anak yang tidak berdosa ini perlu dilindungi keaibannya di sepanjang hidupnya.

Mohd Asri Zainal Abidin

Ini kerana kesalahan sebagai “anak tidak sah taraf” bukan perlu ditanggungnya sedangkan perbuatan ketelanjuran itu dilakukan oleh kedua ibu bapanya.

Atas sebab itu Fatwa Perlis yang diwartakan pada tahun 2013 menyebut: “Anak yang lahir kurang enam bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”.

Sekaligus ia akan berupaya menutup segala gossip liar berkaitan dengan pasangan ini berkaitan kes ini di sepanjang hayat pasangan dan juga anak.

Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin menjelaskan, fatwa ini mensyaratkan bapa yang hendak dinasabkan itu hendaklah berkahwin dengan si ibu yang mengandung tersebut dan si bapa tidak menafikan bahawa itu adalah anaknya.

“Ini bermaksud, fatwa ini merangkumi semua anak zina yang dilahirkan oleh ibunya yang tidak mempunyai suami,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jika si bapa telah menafikan bermakna anak itu tidak boleh dinasabkan kepadanya.

“Ini yang membezakan fatwa Perlis ini dengan pegangan beberapa fatwa pihak lain di mana mereka mensyaratkan kandungan itu berusia enam bukan ke atas baharu boleh dinasabkan kepada bapanya,” katanya pada majlis Penjelasan dan Penyerahan Fatwa Negeri Perlis di Jabatan Mufti yang melibatkan jabatan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Ia berkaitan mengenai Fatwa Anak Tidak Sah Taraf dan Fatwa Berkaitan Mirath, Wali Perkahwinan dan Marhamiyyah Bagi Anak Tidak Sah Taraf.

Hadir sama Pegawai Jabatan Mufti, Mohamad Abdul Kadir Sahak dan Muhammad Khidir Abdul Ghani.

Mohd Asri berkata, fatwa Perlis juga meneliti fenomena yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

“‘Bin Abdullah’ yang diamalkan secara tidak langsung boleh menzalimi kehidupan anak yang tidak bersalah,” katanya.

Sekaligus katanya, ‘Bin Abdullah’ tidak memberi peluang kepada seseorang yang bersalah menutup dosa yang telah dilakukan sekalipun dirinya telah bertaubat.

Apabila seseorang penzina berkahwin dan bertaubat, Allah itu maka menerima taubat.

Atas sikap yang bertanggungjawab , dia membesarkan anak zina.

Jika anak itu dibinkan dengan Abdullah, pasti si anak akan bertanya: “Mengapa saya bin “Abdullah”?.

Adakah wajar untuk si bapa menjawab: ” Saya dan ibu kamu dahulu berzina?.

Jika itulah jawapannya bererti ibu bapa berkenaan telah membuka keaiban diri mereka yang dilarang oleh nas-nas Islam untuk mereka membukanya.

Bahkan dengan jawapan ini akan menghilangkan rasa hormat si anak kepada ibu bapa zinanya yang cuba membesarkan dan mendidik menjadi insan yang baik.

Mohd Asri memberikan sijil kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Najmuddin Abdul Karim pada majlis Penjelasan dan Penyerahan Fatwa Negeri Perlis di Jabatan Mufti. – Gambar Ihsan Jabatan Mufti

Jika ada anak-anak lain dari hubungan halal, mereka mengetahui aib ibu bapa sebelum itu akan membawa kepada tidak menghormati keduanya.

Sekaligus peranan ibu bapa sebagai “role model” akan tergugat dan akan menjadikan institusi kekeluargaan terus runtuh. – SM

BACA Mufti Perlis nikahkan pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Sabri Yunus, Angeline Tan

(Visited 88 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button