Nasionalpilihan

Raja Muda: Semua pihak berperanan martabatkan bahasa Melayu, sastera

RAJA MUDA PERLIS, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, seharusnya usaha bagi memartabatkan bahasa Melayu dan sastera tempatan perlu dimainkan oleh semua pihak.

Titah Baginda, bahasa Melayu pernah mempunyai kedudukan yang tinggi di mana pernah diiktiraf sebagai ’lingua franca’ suatu ketika dahulu dan dipertuturkan secara meluas.

Malah titah Baginda, bahasa Melayu juga terbukti sebagai bahasa ilmu dan sumber penyatuan bangsa.

“Manakala sastera Melayu sangat kaya dengan elemen tempatan yang menjadikannya begitu unik di mata dunia,” titah Baginda.

Raja Muda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Program Hijrah Minda Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bilangan Ke-18 Bagi Tahun 2022’ di Masjid Al Nur, Kampung Chantik, Padang Besar, baru-baru ini.


Sempena program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM12,000 kepada 30 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut yang diagihkan melalui amilnya, Ustaz Mohd Fadzil Seman. Setiap seorang menerima RM400.

Menyentuh mengenai kepentingan keupayaan bahasa Melayu di persada antarabangsa, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Sastera Melayu pula menjadi warisan dan teras negara bangsa sejak zaman-berzaman.

Titah Tuanku Raja Muda, “Kita sememangnya perlu berbangga dengan karya agung terdahulu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa dan lain-lainnya.

“Inti pati karya sastera tempatan ini sebenarnya sarat dengan elemen nilai yang menjadi lambang jati diri Melayu’ titah Baginda. – SM

Artikel berkaitan > Raja Muda sokong produk pelancongan baharu BalBuk Haus, Warong Chaq, BBC Campsite

(Visited 28 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button