NasionalNegeri

Raja Muda saksi Perbarisan Serah Terima Tugas Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah

RAJA Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan acara Perbarisan Serah Terima Tugas Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia yang diadakan di Padang Kawad Kem Bukit Keteri, semalam.

Berangkat sama bagi menyaksikan upacara menandatangani Nota Serah Terima Tugas dan juga upacara Serah Terima Tongkat Kuasa ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehornat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Panglima Briged ke Enam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Akib Yusof dan Timbalan Komander yang baharu, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Selepas majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Komander rejimen berslogankan ‘Latih Untuk Perang’ tersebut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak atas segala khidmat bakti yang dicurahkan sebagai Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang ke-22 dari 25 Mac 2019 sehingga 03 Ogos 2022.

Tambah Baginda, segala sumbangan Mohamad Zaidi itu amatlah dihargai dan semoga beliau akan terus mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara serta semoga terus maju jaya di tempat perkhidmatan yang baharu.

Ketika di Perlis, Mohamad Zaidi telah melaksanakan pemutihan, promosi dan pendaftaran baharu anggota sukarela R504AW.

Beliau juga telah memperkenalkan Logo Komersial R504AW, Logo Patch berbentuk Singa, mengadakan jembali Perbarisan Komander dan Majlis Makan Malam Rejimental R504AW selain menaiktaraf bangunan Wisma Bintara  Rejimen. – SM

(Visited 689 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button