NasionalNegeri

MoU bantu komuniti nelayan Perlis naiktaraf pendapatan

TIDAK mustahil jika kehidupan masyarakat nelayan hari ini boleh dinaiktaraf kepada yang lebih baik agar kelompok nelayan dapat menjalani kehidupan dengan pendapatan yang lebih baik.

Proses menandatangani MoU yang diadakan di Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh petang semalam.

Begitu juga dengan 43 orang nelayan darat di Empangan Timah Tasoh, Perlis yang mana mereka tidak boleh semata-mata mengharapkan kepada rezeki dengan melakukan aktiviti penangkapan ikan sepanjang hayat.

Sudah tiba masanya, nelayan perlu berfikiran lebih jauh supaya dapat meningkatkan taraf kedudukan ekonomi di masa depan.

Bagi memenuhi hasrat itu, My Komuniti Perikanan (MyKP) Timah Tasoh telah bersetuju untuk menandatangani  satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan Koperasi Nelayan Darat Timah Tasoh Berhad.

Pada majlis menandatangani MoU ini,  MyKP Timah Tasoh diwakili Timbalan Pengerusinya, Abd Azhar Abd Aziz manakala Koperasi Nelayan Darat Timah Tasoh Berhad pula diwakili Pengerusinya, Mohd Rahilaz Abu Zair.

Majlis MoU ini diadakan di Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh, Batu 10 1/4, Lorong Kesinai 1, Jalan Kaki Bukit, Padang Besar, petang semalam.

Abd Azhar Abd Aziz (kanan) bertukar dokumen dengan Mohd Rahilaz Abu Zair selepas MoU.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dr.  Faizal Kamarudin, Exco Kerajaan Negeri, Azizan Sulaiman, Pengarah Perikanan Negeri, Ismail Ibrahim dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perlis, Akram Hasan.

Pengarah Perikanan Perlis, Ismail Ibrahim berkata, dengan MoU ini, ia sekaligus dapat memberi peluang kepada para nelayan untuk terlibat dalam bidang ekonomi termasuk pelancongan.

“Selain produk ikan air tawar dan pekasam dari tasik ini, MyKP juga menyediakan perkhidmatan bot roda tasik, bot sewa memancing dan juga perkhemahan sebagai tarikan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya MyKP mendapat bantuan dari pihak tertentu sudah pasti produk yang ada dapat diberi nilai tambah.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perlis, Akram Hasan berkata, pihaknya bersedia membantu masyarakat nelayan kerana banyak faedah yang menunggu serta memberi peluang kepada pihak koperasi untuk bergerak dengan lebih mudah.

“Jangan sia-siakan peluang ini supaya taraf hidup nelayan darat berubah untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata, SKM juga menyediakan tabung modal pusingan untuk membantu menggerakkan mana-mana koperasi yang memerlukannya. – SM

(Visited 362 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button