NasionalNegeri

Raja Muda, Raja Puan Muda berkenan saksi Restorasi Terinai Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyaksikan Panggung Seni Tradisional 2022 : Restorasi Terinai Perlis.

Persembahan ini diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba Baginda berdua telah disambut oleh Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Ir. Mohd Hamid Abd Shukor, Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Zarinah Anwar dan Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop.

Restorasi Terinai Perlis dipersembahkan secara bersama oleh Jabatan Tarian, Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya (UM) dan Bahagian Dasar dan Penyelidikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Program ini merupakan sebahagian daripada siri Pameran Seni Tradisional 2022 (Panggung Seni Tradisional 2022) anjuran JKKN.

Ia ditaja oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan (MOTAC) dan disokong oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM).

Persembahan ini menampilkan Terinai tertua dan menjejaki evolusinya dari tahun 1900-an hingga 2022.

Pameran ini terdiri daripada lapan himpunan Terinai-Terinai lama yang dibina semula dan lapan Terinai ciptaan tradisional iaitu, Terinai Mengadap dan Selom, Terinai Layang Mas, Terinai Dudui, Terinai Dewa Raja, Terinai Ketam Bawa Anak, Terinai Putra Mahkota, Terinai Sri Indera serta iInang Jawa dan Bertabuh.

Program Terinai yang julung kali diadakan sebegini ini menghimpunkan pelbagai bentuk Terinai dalam satu persembahan melalui bimbingan pakar Terinai, Dr. Zamin Haroon.

Ia bukan sahaja sebagai persembahan tarian tetapi menggabungkan syarahan, demonstrasi, dialog, dan persembahan audio-visual untuk memperkayakan pengalaman menonton.

Malah bukan sahaja menjadi satu bentuk hiburan bagi pencinta seni, malah program pendidikan untuk masyarakat umum.

Persembahan ini merupakan usaha sama antara pelbagai pihak seperti Fakulti Seni Kreatif UM, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), JKKN dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Persembahan Terinai ini turut dipersembahkan dengan muzik secara langsung yang diiringi oleh orkestra Gendang Keling yang diketuai oleh pakar muzik, Amil Senapi.

Restorasi Terinai Perlis berlangsung selama dua hari iaitu pada 21 dan 22 Oktober 2022.

Hasil jualan tiket disumbangkan kepada Kumpulan Wang Amanah Kebudayaan dan Kebajikan Pengiat Seni (KWAKKPS). – SM

(Visited 230 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button