Belang Bertempat

Tukar kerajaan atau tukar perdana menteri?

BEBERAPA minggu ini gerakan politik di bawah radar semakin ketara. Apakah kerana pilihan raya negeri semakin hampir atau ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan dewasa ini.

Perkara itu turut diwar-warkan oleh pemimpin Bersatu bahawa terdapat 126 ahli parlimen yang akan menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku perdana menteri.

Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) turut mengulas isu itu.Agus bertanya, tidak bosankah pemimpin pembangkang setiap hari berangan untuk kembali berkuasa? Masa berkuasa 33 bulan dahulu pun gagal sehingga rakyat terpaksa menaikkan bendera putih, dan sekarang ini hendak cuba tebuk atap 2.0 pula.

Beliau berkata jika hendak uji pengaruh, pergi ke lantai dewan dan buat undi tidak percaya. Jika tidak yakin untuk melakukannya, nasihat saya terimalah realiti PN itu adalah pembangkang.

“Cukuplah bermimpi ke Putrajaya, fokus dahulu kepada usaha untuk membangunkan negara. Rakyat mahukan kestabilan dan kemajuan ekonomi. Kalau kerap berpolitik begini, pelabur pun segan untuk datang,” katanya.

Beliau juga tidak faham dengan pembangkang ini. Jika PMX yang bercita-cita untuk menjadikan Malaysia negara bebas rasuah pun hendak ditumbangkan, apa lagi yang boleh diharapkan dengan orang politik ini, terutamanya yang mendakwa memperjuangkan Islam.

“Cukuplah apa yang berlaku sebelum ini. Bagi ruang kepada PMX uruskan negara. Tunggulah PRU 16 supaya kita serahkan semula mandat kepada 20 juta pengundi untuk membuat keputusan. Itu lebih absah,” katanya.

Kembali kepada angka 126, boleh jatuhkah kerajaan perpaduan ini? Agus berkata beliau baharu selesai membaca monograf terbaharu Kai Otswald yang diterbitkan oleh ISEAS pada 2 Mei 2023 bertajuk Why Malaysia’s Unity Government will (probably) survive?

Katanya, dapatan beliau hampir sama dengan pandangannya. Sukar jikapun tidak mustahil. Ini kerana PMX dan kerajaan perpaduan mendapat sokongan daripada Raja-Raja Melayu, berhati-hati dalam mengendali hal ehwal Melayu-Islam, agenda Malaysia Madani mula meresap dalam sanubari bangsa Malaysia, PMX berkarisma dalam soal mengangkat martabat rakyat, melawan perasuah dan menoktahkan kemiskinan.

Oposisi juga, katanya, ternyata ia gagal menjadi pembangkang untuk mengkritik secara konstruktif dasar-dasar kerajaan dan menjalankan peranan semak dan imbang. Mereka hanya berjaya mencipta kelesuan dan keresahan politik. Tetapi, jika melihat kepada keyakinannya bahawa kerajaan ini tumbang, saya katakan cara pembangkang berangan dan bermimpi, ular pun boleh keluar kaki.

Kembali kepada isu gerakan ini nampaknya ada dua puak. Puak satu mahu menukar perdana menteri dengan menunggang isu kegagalan kerajaan menangani kos sara hidup dan kebajikan rakyat.

Satu puak lagi mahu menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan isu orang Melayu yang semakin terancam.

Kononnya dewasa ini tidak membela nasib Melayu kerana lebih berusaha mengambil hati kaum lain.

Terdapat juga cerita selain berjaya mendapatkan sokongan Borneo, kumpulan ini mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad menggerakkan sekali lagi usaha itu.

Bahkan dikatakan ada ahli parlimen yang sanggup meletakkan jawatan bagi membolehkan Dr. Mahathir sekali lagi menjadi perdana menteri iaitu buat kali ketiga.

Perkara itu tidak mustahil kerana Dr. Mahathir berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada 2018 dengan memberi sokongan kepada pembangkang Pakatan Harapan pada pilihan raya umum.

Selepas itu beliau sendiri yang meruntuhkan kerajaan berkenaan yang hanya bertahan selama 22 bulan.

Mengapa Dr. Mahathir? Selain berpengaruh, beliau juga mempunyai sokongan kuat para taikun selama 22 tahun beliau memerintah.

Ada pemerhati politik yang mahukan kerajaan ini kekal sehingga tamat penggal pemerintahan.

Jika tidak Anwar akan menyalahkan pihak yang menjatuhkannya separuh jalan hingga beliau tidak sempat berbuat apa-apa.

Namun pendapat itu disanggah kumpulan lain yang khuatir lebih banyak kerosakan dibuat oleh kerajaan Anwar.

Dicelah-celah itu ada kumpulan pendesak yang mahukan Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini dipenjarakan kerana kes SRC supaya diberi pengampunan.

Ini sedikit sebanyak turut menjejaskan kejituan sokongan orang UMNO di dalam kerajaan perpaduan, jika isu itu tidak ditangani dengan baik.

Apa jua keadaan kerajaan perpaduan ini perlu memastikan tiga buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan tetap di dalam genggaman.

Jika tidak maruah mereka akan tercalar dan ini memberi lebih banyak tekanan.

 

 

 

(Visited 1,040 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button