BeritaPendidikan

Raja Muda Perlis titah warga UniMAP pelihara integriti dan bersikap positif

Warga kerja Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diminta memastikan ‘Integriti Menyeluruh dan Positif’ dipraktikkan dalam usaha menghadapi Covid-19 secara bersama. Isu integriti bukan hanya memberi fokus terhadap isu rasuah semata-mata, tetapi juga satu konsep yang lebih luas iaitu integriti dalam memberi perkhidmatan terbaik demi memenuhi kehendak pemegang taruh, serta integriti ketika berhubung dengan ketua jabatan, rakan sekerja, kakitangan sokongan serta para pelanggan, khususnya membabitkan status kesihatan masing-masing dalam konteks menghadapi Covid-19.

Mereka juga perlu sentiasa berusaha untuk belajar sesuatu yang baharu dan ‘multitasking’. Ini adalah untuk memastikan keupayaan untuk membantu dan memastikan urusan tugas yang ditinggalkan oleh rakan sekerja yang terkesan dengan Covid-19 dapat berjalan lancar.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) UniMAP, Tahun 2021 yang diadakan di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada petang semalam.

Berangkat sama ialah Pro Canselor, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Raja Dato’ Azwane Raja Ariff dan Naib Canselor, Prof Ts Dr Zaliman Sauli serta para pegawai kanan universiti.

Tuanku Syed Faizuddin Putra tidak mahu rakyat Perlis secara umumnya dan warga UniMAP secara khususnya leka dan alpa dengan keadaan Covid semasa. Baginda turut berkongsi bahawa Perlis mencatatkan 1,009 kes pada minggu lepas dengan 94.7% kategori 1 dan 2 ringan. Namun begitu, kemasukan ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 adalah melibatkan pesakit dengan keadaan klinikal yang teruk, majoritinya warga emas dan pesakit dengan komorbiditi seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti dan lain-lain penyakit.

Tambah baginda, ‘Tahun ini Perlis mencatatkan kes kematian yang tinggi berbanding negeri lain di Malaysia. Ini harus menakutkan semua. Terdapat 33 kes kematian disebabkan Covid-19 yang mana melibatkan warga emas (87.9%) dan pesakit yang mempunyai komorbiditi (81.9%). Ini mesti diambil serius oleh semua rakyat. Tiada kematian melibatkan penerima booster vaksin Covid-19, tetapi kematian adalah tinggi iaitu 51.5% bagi yang belum menerima dan belum lengkap vaksin Covid-19’.

‘Ini menunjukkan warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi merupakan kumpulan berisiko kematian jika dijangkiti Covid-19. Sesungguhnya, penerimaan vaksin terutamanya dos booster merupakan pelindung dan dapat menghalang kematian setakat ini’ jelas baginda.

Tuanku Raja Muda juga memaklumkan bahawa, sehingga 22 Mac 2022, seramai 7,242 orang kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun sahaja di negeri ini telah menerima dos 1 vaksin Covid-19. Ini adalah 24.9% daripada kanak-kanak yang layak menerima vaksinasi ini. Jumlah ini adalah rendah memandangkan jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi sekarang.

Selain itu, jangkitan dalam kalangan kanak-kanak dan kemasukan ke hospital juga menunjukkan peningkatan. Pada tahun 2021, seramai 651 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 di Perlis. Namun, pada tahun ini, iaitu sehingga 22 Mac 2022 jumlah jangkitan Covid-19 bagi kanak-kanak telahpun mencecah seramai 660 orang dengan 103 orang perlu dirawat di hospital. Ini lebih tinggi berbanding tahun 2021 iaitu hanya 40 orang. Kumpulan kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi seperti penyakit paru-paru kronik, kurang daya tahan diri, kencing manis dan lain-lain penyakit kronik adalah berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan Covid-19 yang serius.

Antara anugerah yang disampaikan di majlis tersebut adalah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (133 orang), Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang (34 orang) dan Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (93 orang).

(Visited 312 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button