Sukan

Harimau Muda pulang tangan kosong

Selepas pasukan senior, kini giliran pasukan Harimau Muda pula pulang yang kosong dari Qatar apabila gagal mencatatkan kempen Piala Asia B-23 2024.
Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menutup kempen itu tanpa sebarang kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Kuwait pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Al Janoub di Al Wakrah, Qatar awal pagi ini.
Memetik BERNAMA, keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Juan Torres Garrido menamatkan kempen di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata susulan tewas 0-2 masing-masing di tangan Uzbekistan dan Vietnam dalam dua aksi pertama.
Pada aksi berdepan Kuwait, rentak skuad Harimau Muda terjejas apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa pertama susulan mengasari kapten Kuwait Salman Mohammed di luar kotak penalti.
Penyerang Luqman Hakim Shamsudin terpaksa dikorbankan oleh Garrido dengan membawa masuk penjaga gol gantian Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil bagi mengisi kekosongan di gawang yang terpaksa ditinggalkan Sikh Izhan.
Bagaimanapun, Malaysia ketinggalan di penghujung tambahan masa babak pertama yang berlanjutan sehingga 15 minit menerusi penalti yang disempurnakan Salman selepas Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan dipersalahkan kerana mengasari Talal Al Qaisi hasil semakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan buat Malaysia pada minit ke-56 apabila gagal menyudahkan hantaran lintang Muhammad Haqimi Azim Rosli sebelum Muhammad Firdaus menyelamatkan percubaan satu lawan satu berdepan Salman pada minit ke-59.
Namun, seminit kemudian Malaysia semakin tertekan apabila pasukan lawan kendalian Emilio Peixe berjaya melebarkan kedudukan selepas Talal menanduk masuk hantaran lintang Sultan Al Faraj.
Memasuki 10 minit terakhir perlawanan, Salman diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil Alexander King dari Australia susulan terjahan keras ke atas Muhamad Umar Hakeem pada minit ke-83 sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa menamatkan aksi dengan 10 pemain.
Kedudukan kekal 2-1 berpihak Kuwait sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus membolehkan anak buah Peixe memintas Malaysia untuk menamatkan saingan Kumpulan D di kedudukan ketiga dengan mengumpul satu mata, namun tetap gagal layak ke suku akhir.
Pada edisi 2022 di Uzbekistan, skuad Harimau Muda turut gagal mencatat sebarang kemenangan dalam aksi kumpulan selepas mencipta sensasi mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.
Dalam pada itu, Uzbekistan melangkah ke suku akhir selaku juara Kumpulan D apabila menewaskan pasukan yang turut mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati, Vietnam 3-0 pada satu lagi aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha.
(Visited 8 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button