Travel

Raja Muda Perlis titah pengusaha pelancongan patuhi SOP

Apabila terdapat kehadiran pelancong di negeri Perlis yang ‘transit’ sementara menunggu perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi yang baru kembali dibuka, maka para pemilik tempat penginapan seperti hotel atau homestay serta restoran di negeri ini hendaklah sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Antara SOP yang perlu dilaksanakan adalah dengan mengawal pintu masuk yakni ‘gate keeping’ dengan baik iaitu hanya individu yang tidak bergejala dan berisiko rendah sahaja yang dibenarkan memasuki premis masing-masing selain mengawal jumlah pelanggan pada satu-satu masa.

Dalam hubungan ini, rakyat Perlis hendaklah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong di negeri ini terutamanya kepada pengunjung yang dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Perlis kerana menyesuaikan waktu perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi dari Kuala Perlis.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan penutupan ‘Letak Kerja’ Program Transformasi Komuniti Pekan Lama Arau.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj. Mohd Nazim Mohd Noor dan Penyelaras Program, Ahmad Maqamin Amin Abd Razak mewakili NGO Perlis Volunteer Action Community (PVAC).


Program ini dilaksanakan oleh MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya Negeri dan beberapa buah NGO kebajikan lain yang diterajui oleh pihak PVAC bersama-sama golongan asnaf di Kariah Kota Raja Arau atas sumbangan pihak ‘Kumpulan Kayuhan TTG Kuala Lumpur’ bagi fasa 1 dan Persatuan Usahawan China Di Malaysia (PUCM) melalui Presidennya Datuk Keith Li Zhongping bagi fasa 2 program berkenaan.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berharap, para pengunjung ke Pulau Langkawi yang menggunakan perkhidmatan kereta api melalui Stesen Diraja Arau di masa hadapan dapat meluangkan masa singgah di projek berkenaan selain menikmati tarikan warisan budaya, membeli belah dan makan minum di sekitar Kota Raja Arau.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim berkata mungkin ramai dalam kalangan rakyat Perlis sendiri juga akan mengambil kesempatan untuk melancong ke Pulau Langkawi. Dinasihatkan mereka supaya patuh SOP dan amalkan norma baharu sepanjang berada di sana dan kuarantin kendiri selama 14 hari sebaik sahaja pulang ke Perlis.

(Visited 30 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button