Pendidikan

Raja Muda Perlis Titah Pelajar Perlu Perkukuh Kemahiran Sosial dan Jati Diri

PADANG BESAR, 3 Julai 2025 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah bahawa pelajar sebagai aset masa depan negeri dan negara perlu melengkapkan diri dengan pelbagai lapangan ilmu serta kemahiran sosial yang tinggi, selari dengan kehendak era globalisasi dan teknologi moden.

Titah baginda, kemahiran sosial memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang harmoni, membantu pelajar menjalin hubungan baik dengan rakan sebaya, guru dan warga sekolah, serta meningkatkan semangat untuk terus belajar.

“Hargailah guru-guru, sahabat-sahabat dan sentiasa menunjukkan sikap positif dalam setiap interaksi. Jalinlah hubungan baik sama ada di rumah, sekolah mahupun warga setempat agar dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang aman dan harmoni,” titah baginda ketika menyempurnakan Perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 Peringkat SMK Padang Besar Utara.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua SMK Padang Besar Utara, Zulkhibri Hussein.

Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini melibatkan 252 pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, dengan matlamat menyemai nilai kasih sayang, jati diri dan kecemerlangan dalam kalangan pelajar.

Dalam ucapan aluannya, Pengetua Zulkhibri menyatakan bahawa sekolah mencatat peningkatan dalam keputusan SPM 2024, dengan GPS meningkat dari 5.65 ke 5.51, termasuk seorang pelajar memperoleh 8A dan peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dalam beberapa subjek.

Antara pencapaian kokurikulum yang membanggakan:

• Nur Amalin Sofiya Mohd Radzi terpilih mewakili Perlis ke Perkhemahan Kadet Remaja Sekolah (KRS) Kebangsaan.

• Shahril a/l Long Jamal mewakili negeri ke Simposium PRS Kebangsaan di Kuala Lumpur.

• Nur Qistina Batrisyia Mazlan muncul Johan Pertandingan Pembaca Bestari Bahasa Inggeris dan mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan.

• Pasukan robotik SMK Padang Besar Utara dinobatkan Johan Robomission Rookie Menengah Atas, layak ke National Robotic Challenge di Cyberjaya.

• Pasukan Menengah Rendah pula meraih tempat kedua dan kelima dalam pertandingan yang sama.

• Dalam bidang sukan, Nur Anis Qistina Mohamad Azrim mewakili Perlis dalam sukan softball kebangsaan.

• Sekolah turut meraih dua pingat dalam Kejohanan Merentas Desa Peringkat Negeri, termasuk kejayaan dalam kategori P19 Pendidikan Khas.

Pengetua turut menegaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil usaha gigih para guru, semangat pelajar serta sokongan ibu bapa yang seiring dengan aspirasi Raja Muda Perlis untuk melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berwibawa.

Majlis tersebut turut menyaksikan perasmian Bengkel Penyediaan dan Pembuatan Makanan, yang memperkenalkan kemahiran asas kulinari seperti teknik memasak, penyediaan sarapan dan pencuci mulut, dengan penyertaan 3 guru dan 11 murid.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button