Mahkamahpilihan

Empat lelaki mengaku tidak bersalah merompak, seks luar tabii

Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini, atas pertuduhan merompak berkumpulan telefon bimbit, barangan kemas dan wang tunai RM2,090 daripada empat wanita Myanmar di sebuah rumah di kebun kelapa sawit di Alor Gajah, dua minggu lalu.

Tertuduh, S Sugumaran, 28, SK Dinesh, 27, R Vijay, 22, dan Gevendren,21, masing-masing mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas dibacakan pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan mereka dituduh merompak telefon bimbit Redmi 5G, wang tunai RM140 dan pasport milik Mya Ei Mon; telefon bimbit Vivo 1906 dan wang tunai RM350 milik Tun Yadana Hlaing; telefon bimbit Redmi 10A, wang RM700, rantai leher, cincin emas dan pasport Thet Htet Wai dan telefon bimbit serta RM900 daripada Thin Thin Kyi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di kebun kelapa sawit, Jalan Ayer Paabas, Alor Gajah pada 14 Ogos lalu, antara pukul 5.00 petang hingga 6.30 petang.

Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Sementara itu, Dinesh turut mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan lain iaitu melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii (memasukan zakar ke dalam mulut) sambil mengugut mencederakannya dan melakukan seks dengan objek (masukkan jari ke dalam vagina) terhadap seorang daripada wanita itu yang berusia 26 tahun tanpa kerelaannya, di tempat dan hari sama, jam 8.40 malam.

Vijay yang juga buruh ladang dan bapa kepada dua anak turut didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa sama sambil menakutkannya pada tarikh dan di tempat sama, jam 7.30 malam.

Pertuduhan seks luar tabii didakwa mengikut Seksyen 377C KK, membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagi kesalahan hubungan seks dengan objek pula didakwa mengikut Seksyen 377CA KK, membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh diwakili peguam SS Amritpal Singh.

Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 bagi Sugumaran dan Gevendren, masing-masing, sementara Dinesh dan Vijay RM22,000 seorang bagi semua pertuduhan berserta syarat perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan.

Kes akan disebut semula pada 2 Oktober depan untuk serahan dokumen. – SM

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button