Ekonomi

Selangor sasar 7 juta kemasukan pelancong menjelang 2025

SELAMA tiga tahun berturut-turut, Negeri Selangor telah menarik pelancong dari Negara China dengan jumlah yang tinggi berbanding pasaran Asia Tenggara yang lain.

Pada tahun 2023, Negeri Selangor telah menyaksikan kemasukan 352,001 pelancong dari Negara China, menandakan lonjakan sebanyak 73% berbanding tahun 2022 dengan jumlah kemasukan pelancong sebanyak 203,615 orang pelancong.

Dengan peningkatan kemasukan pelancong yang luar biasa, Negeri Selangor telah meningkatkan strategi promosinya, dengan melaksanakan misi jualan di Negara China, yang telah bermula pada 17 hingga 26 Mac 2024.

Diketuai oleh EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim, delegasi dari Tourism Malaysia dan Tourism Selangor telah memulakan misi jualan di seluruh China, menyasarkan bandar Dalian, Shenyang, Changchun dan Harbin.

Bandar-bandar ini, yang mempunyai gabungan populasi melebihi 25 juta, telah menghimpunkan lebih 500 pembeli dan ejen pelancongan. Program ini telah menyediakan platform kepada  pengusaha produk pelancongan dari Negeri Selangor untuk membentangkan tarikan pelancongan mereka, di sambil meneroka potensi pasaran yang lebih luas.

Misi jualan ini dipertingkatkan lagi dengan kerjasama bersama beberapa Badan Pelancongan Utama seperti Pertubuhan Jawatankuasa dan Pembangunan Pelancongan Dalian, Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Heilongjiang dan Biro Kebudayaan dan Pelancongan Perbandaran Xiamen.

Jalinan kerjasama ini dijangka akan membuka peluang baru bagi aktiviti promosi, termasuk Familiarisation Trip, pemasaran konten dan peluang perniagaan kepada sektor pelancongan tempatan, serta mengukuhkan lagi
kedudukan Negeri Selangor dalam pasaran Negara China.

Tourism Selangor juga telah menjalin kerjasama bersama Tourism Malaysia Pangkalan Beijing dan Shanghai bagi menyasarkan lebih banyak kemasukan penerbangan terus dari China oleh Syarikat Penerbangan Malaysia dan Syarikat Penerbangan China seperti Air China, China Eastern Airlines, China Southern Airlines, Xiamen Air, Loong Air dan Spring Airlines. Terkini sekitar 327 kekerapan penerbangan dijadualkan dalamseminggu antara Malaysia dan China.

Suee Lim dalam satu kenyataan berkata, minat pelancong China dengan tarikan pelancongan Selangor adalah petunjuk jelas tentang daya tarikan negeri yang semakin meningkat dan hubungan kukuh yang telah terbina bersama Negara China.

“Program ini bukan sahaja menandakan komitmen kami untuk mengalu-alukan lebih ramai pelancong tetapi juga
memaparkan lagi Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan yang dinamik dan sedia untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang unik kepada pelancong antarabangsa.

“Memandangkan taman tema merupakan tarikan utama bagi pelancong dari Negara China, Tourism Selangor telah mengetengahkan beberapa destinasi utama sepanjang program tersebut, termasuk Taman Tema Sunway Lagoon, Taman Tema Air SplashMania dan FunPark @ Gamuda Luge Garden.

“Selain itu, bagi mereka yang berminat dengan ekopelancongan dan agropelancongan, tarikan seperti Sky Mirror dan Sekinchan juga telah dibentangkan kepada para pembeli dan ejen pelancongan di China,” katanya.

Selaras dengan kempen promosi pelancongan antarabangsa negeri Selangor, “Splendid Selangor, Take Me Anywhere!”, Negeri Selangor amat mengalu-alukan peluang kerjasama dengan agensi antarabangsa dan ejen pelancongan untuk meningkatkan peluang perniagaan, terutamanya menuju ke Tahun Melawat Selangor 2025 dan mencapai sasaran pelancong sebanyak tujuh juta pada tahun hadapan. – SM

(Visited 20 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button