Alam Sekitar

Raja Muda Perlis seru semua pihak jaga alam sekitar

Sempena ‘Hari Hutan Antrabangsa’ yang disambut pada 21 Mac setiap tahun dan ‘Kempen Penanaman 100 Juta Pokok’, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru kepada semua untuk bersama-sama mengambil tanggung jawab menjaga alam sekitar kita.

Antara usaha-usaha kecil yang boleh dilakukan oleh setiap rakyat adalah dengan terlibat dalam penanaman pokok, elak penggunaan plastik sekali guna, kitar semula, penjimatan penggunaan elektirik, penjimatan penggunaan air, penggunaan teknologi mesra alam dan sebagainya.

Demikian titah baginda selepas program penanaman pokok jati ‘Tectona Grandid’ sempena kempen ‘Perlis Hebat ; Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi memperingati ‘Sambutan Hari Hutan Antarabangsa’ yang diadakan di perkarangan Titi Gantung
Stesen Penyelidikan FRIM Mata Ayer Perlis pada petang semalam.

Program tersebut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Ia disambut bagi menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan perhutanan, pemeliharaan dan pemuliharaannya untuk kesejahteraan dan kestabilan alam sekitar.


Hadir menyambut keberangkatan Tuanku Raja Muda ialah Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni yang berkongsi kepada semua yang hadir bahawa Malaysia amat bertuah kerana memiliki hutan hujan tropika semula jadi yang kaya dengan kepelbagaian biologi hutan. Hutan tropika ini merupakan khazanah negara yang tidak ternilai yang menjadi habitat kepada flora dan fauna, perkhidmatan ekosistem dan produknya. Malaysia terus komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok.

Untuk rekod, Sambutan Hari Hutan Antrabangsa (International Day of Forests) yang dahulunya dikenali sebagai Hari Perhutanan Sedunia telah dipersetujui oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-bangsa Bersatu (FOA) pada 21 Mac 1972 dan disambut oleh 20 buah negara di seluruh dunia.

Tarikh tersebut dipilih kerana ia merupakan hari pertama bermulanya musim bunga di Hemisfera Utara. Pokok-pokok mula bertunas semula dan menghijau setelah melalui tempoh dorman sepanjang musim sejuk.

Di lokasi yang sama selepas itu, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan perasmian penutup program ‘Modenas Travellers Ride’ dan ‘Kembara Kemanusiaan Mac 2022’ yang diketuai oleh Presiden Kelab Anita Bikers, Anita Yusop melibatkan 18 buah motorsikal berkuasa tinggi.

(Visited 102 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button