Auto TravelEkonomi

Suzuki Malaysia lancar V-STROM 1050XT & Hayabusa

DALAM tempoh dua bulan selepas memunculkan diri di pasaran Malaysia, Suzuki Malaysia Sdn Bhd secara rasmi melancarkan dua buah model heavyweight, iaitu jentera sports lagenda Hayabusa dan jentera sports kembara V-STROM 1050XT.

Menurut Dato’ Jeffrey Lim, Pengurus Besar dan Pengarah Suzuki Malaysia Sdn Bhd berkata, “Pengenalan model Hayabusa dan V-STROM 1050XT melengkapkan lagi barisan motosikal kelas pertengahan dan kelas tertinggi bagi tahun 2021, yang menyediakan rangkaian produk yang lebih meluas, lebih menarik dan mengujakan untuk memenuhi keperluan individu yang berbeza.

“Melihat kepada barisan model Suzuki yang telah berjaya kami sediakan hanya dalam tempoh dua bulan, anda boleh  bahawa jenama ini merupakan satu pesaing yang serius, bukan sekadar dari kemajuan teknologi, malah dari segi produk individu, penggayaan yang unik, dan tahap tunggangan yang lebih menyeronokkan, selain penawaran harga yang menarik di mana model yang paling mampu milik dijual pada harga bawah RM40,000 (V-STROM 650XT  dan SV 650).

Disokong oleh rangkaian 70buah pengedar dan servis yang berpengalaman di seluruh negara, Suzuki merupakan salah satu jenama yang meyakinkan dari segi sokongan selepas jualan.” Menandakan era baharu, Suzuki Malaysia Sdn Bhd menggariskan cita-cita untuk menjadi pemain utama di dalam pasaran motosikal Malaysia dengan pelancaran lima buah model motosikal yang menarik: GSX-R1000 2021, GSX-R1000R 2021, model ikonik Katana 2021, GSX-S750 2021, V-STROM 650XT 2021, dan SV 650 2021.


Suzuki Hayabusa 2022
Harga: RM111,200.00 (harga jualan cadangan tanpa insurans dan pendaftaran)
Warna: Glass Sparkle Black/Candy Burnt gold
Metallic Matte Sword Silver/Candy Daring Red
Pearl Brilliant White/Metallic Matte Stellar Blue

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 1999, Suzuki Hayabusa mengejutkan dunia motosikal dengan menawarkan aras baharu di dalam aspek kelajuan, kuasa serta prestasi secara keseluruhan. Ia bukan sahaja mencipta kelas baharu yang dikenali sebagai motosikal sports terunggul, malah ia juga memegang gelaran sebagai motosikal produksi terpantas di dunia.

Mengekalkan rekaan yang panjang dan rendah, Hayabusa terbaharu menggandingkan fungsi dan bentuk untuk membantu rekaan membelah angin. Prestasi aerodinamik merupakan aspek yang penting untuk sebuah motosikal dengan kelajuan yang menghampiri 300 km/j, disebabkan itu para jurutera Suzuki telah meletakkan Hayabusa di dalam ujian terowong angin menggunakan peralatan CAE terkini bagi mencapai kadar pekali seretan terbaik untuk sebuah motosikal sah jalanan.

Dengan stardard tertinggi yang perlu dikalahkan (ditetapkan oleh generasi Hayabusa yang terdahulu), generasi ketiga Hayabusa bukan sahaja berjaya mengekalkan kehadiran penggayaan yang menakjubkan, malah ia juga telah direka untuk mencapai prestasi yang lebih tinggi dan dalam masa yang sama mampu mencapai standard emisi Euro 5 yang semakin ketat.

Hayabusa kini mampu membekalkan kuasa kuda dan daya kilas yang lebih hebat berbanding manamana sport bike pada putaran enjin sehingga 6,000 rpm, satu legasi yang bangga dikekalkan sebagai jentera sport terulung. Ia bukan sahaja pantas, boleh dikawal dan memiliki kelengkapan kawalan elektronik pintar baharu yang membolehkan penunggang menentukan cara jentera memberikan respons dan beraksi dalam pelbagai situasi.

Suzuki Hayabusa dikuasakan oleh enjin empat lejang, empat silinder sebaris DOHC sejukan cecair bersesaran 1,340 cm3 dengan kuasa maksimum 190 PS @ 9,700 rpm dan daya kilas maksimum 150 Nm @ 7,000 rpm. Ia menampilkan komponen Suzuki Side Feed Injector (S-SFI) baharu yang merupakan rekaan pancitan berkembar dengan unit pancitan kedua diposisikan pada sudut sisi corong kemasukan.

Semburannya dihalakan kepada plat pemantul di dalam corong dan mencipta kabus bahan api halus yang memasuki kebuk pembakaran yang menghasilkan peningkatan kuasa dan output daya kilas sebanyak dua peratus pada julat putaran rendah hingga pertengahan. Sistem pendikit elektronik ride-by-wire menawarkan kadar respons yang lebih asli dan ringan beserta kawalan yang lebih linear. Ia dibantu dengan badan pendikit tirus yang diubah daripada 44 mm kepada 43 mm, sementara panjang keseluruhan paip kemasukan (termasuk paip pengambilan, badan pendikit dan corong) telah dilanjutkan sebanyak 12 mm berbanding sistem terdahulu, untuk mencipta kuasa kuda yang lebih besar pada kelajuan putaran enjin rendah hingga pertengahan.

Selain daripada itu, penghasilan kuasa dan daya kilas pada putaran enjin rendah hingga pertengahan juga telah dipertingkatkan terima kasih kepada rekaan ekzos baharu Hayabusa yang eksklusif. Ini membolehkan Hayabusa terbaharu ini mempunyai kebolehan untuk ditunggang dengan lebih mudah dan “jinak” di kawasan urban, hasil dari hantaran kuasa yang lebih linear. Namun begitu, bila keadaan mengizinkan, pulas pendikit dan Hayabusa akan kembali menampilkan taringnya, mengingatkanpenunggang bahawa ia masih sebuah motosikal pengeluaran paling pantas di pasaran!

Dari segi rekaan, Suzuki Hayabusa mengekalkan kehadiran dominan atas jalan raya sebagai satu penghormatan buat generasi terdahulu, namun ia masih lagi mempunyai aura yang tersendiri sebagai sebuah ‘Refined Beast’. Para pereka dan jurutera Suzuki berjaya menzahirkan elemen keseimbangan dan prestasi pada penggayaan Hayabusa yang dibantu dengan sistem kawalan elektronik pintar yang direka untuk meningkatkan dan memajukan lagi pengalaman tunggangan seseorang.

Casis Hayabusa menampilkan rangka aloi aluminium ‘twin-spar’ yang kuat dan ringan, serta lengan ayun yang dibinamenggunakan proses tuangan dan penyemperitan. Rekaan aerodinamik membelah angin yang terdapat pada Hayabusa menyumbang kepada nilai kadar pekali seretan yang terbaik pernah dicapai oleh mana-mana motosikal.

Dengan nisbah pembahagian berat depan-belakang 50:50, kestabilan dan kebolehkawalan Hayabusa ketika tunggangan kelajuan tinggi dibantu oleh penggunakan fork hadapan jenis terbalik KYB 43 mm boleh laras sepenuhnya dan suspensi belakang KYB, sementara kuasa pemberhentian pula terdiri daripada angkup brek hadapan empat omboh Brembo Stylema yang dipadankan dengan rotor brek berkembar 320 mm. Salah satu ciri terbaik yang ada pada generasi terkini Hayabusa adalah Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S). SIRS menggandingkan lima ciri elektronik yang mampu membantu anda untuk menikmati prestasi maksimum daripada sebuah enjin moden diikuti dengan kadar ketegaran casis baharu dan tetapan suspensinya.

  1. Power Mode Selector – menawarkan tiga tetapan output enjin yang berbeza untuk dipadankan
    dengan jalan dan kondisi tunggangan.
  2. Anti-lift Control System – membenarkan pecutan yang lebih agresif tanpa menyebabkan tayar depan
    terangkat
  3. Bi-directional Quick Shift System – dengan dua mod yang tersedia, sistem ini membenarkan
    penukaran gear (dua arah) dengan lebih pantas tanpa menggunakan klac atau melepaskan pendikit.
  4. Engine Brake Control System – ciri ini mampu menghapuskan kesan daripada brek enjin bagi
    mengelakkan gelinciran tayar belakang.
  5. Motion Track Traction Control System – menggunakan input daripada unit pengukuran inersia (IMU),
    sistem ini akan memantau secara konsiten sudut condong bagi mengehadkan gelinciran tayar ketika
    di selekoh atau ketika jalan lurus.
    Kelima-lima ciri ini berfungsi secara seiring di sebalik tabir bagi memastikan anda dapat menikmati
    segala kuasa yang diperah daripada Suzuki Hayabusa.

SUZUKI V-STROM 1050XT
Harga: RM81,900 (harga jualan cadangan tanpa insurans dan pendaftaran)
Warna: Metallic Oort Gray No.3/Glass Sparkle Black
Pearl Brilliant White/Glass Blaze Orange

SUZUKI V-STROM 1050XT 2021 menampilkan pakej penggayaan yang lebih tajam, dengan rekaan muncung menonjol yang memberikan penghormatan buat jentera lumba padang pasir lagenda Suzuki DR-Z dan model komersial off-road DR-BIG. Dihasilkan dan direka untuk menjadi ‘The Master of Adventure’, jentera V-STROM 1050XT merupakan model Suzuki yang paling lengkap, membenarkan penunggang untuk meneroka potensi sebenar sebuah jentera kembara sports.

Motosikal ini menawarkan kadar keseimbangan yang hebat dari segi prestasi, pengalaman, dan keseronokan tunggangan, dilengkapi dengan Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S) yang menawarkan sokongan yang baik terhadap penunggang, serta kedudukan tunggangan yang lebih santai. Sistem unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi menggunakan bacaan data yang sangat tepat sebagai tindak balas terhadap postur kenderaan di dalam sistem kawalan terdiri daripada sistem motion track brake, hill hold control dan slope dependent control.

Rekaan casis V-STROM yang ringan dan kompak menjadikan ia sebuah jentera yang lebih selesa dan menyeronokkan. Rekaan enjin V-twin yang tirus membolehkan jentera ini mengekalkan rekaan badan yang ramping walaupun didatangkan dengan tangki bahan api sebesar 20 liter, membolehkan penunggang mendaratkan kaki ke tanah dengan mudah. Rangka aluminium tuang twin-spar yang ringan dibantu dengan lengan ayun aluminium memberikan kadar keseimbangan ketegaran yang optimum untuk prestasi kestabilan dan pengendalian yang ringan.

Enjin V-twin 90 darjah bersesaran 1,037 cm3 sejukan cecair kini mematuhi piawaian pelepasan emisi Euro 5 secara standard dan dalam masa yang sama mengekalkan output kuasa yang tinggi dan kadar penggunaan bahan api yang rendah. Enjin ini mampu memberikan karakter gemuruh yang mendalam pada julat putaran enjin yang rendah, serta daya kilas yang kuat dan linear pada putaran enjin pertengahan (101 Nm @ 4,000 rpm) dan kuasa kuda maksimum 79 kW @ 8,500 rpm.

Digandingkan dengan sistem pendikit ride-by-wire, V-STROM 1050XT mengekalkan saiz bore yang besar (49 mm berbanding 45mm pada model terdahulu), sementara badan pendikit pula dipasang secara individu pada bahagian depan dan belakang silinder. Setiap badan pendikit mempunyai injap rama-rama tunggal, membolehkan setiap satu dibuka dan ditutup menggunakan motor bebas yang tersendiri untuk kawalan yang lebih tepat.

Sistem Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S) meningkatkan tahap penggunaan dan keselesaan kepada penunggang, dan ia merangkumi ciri seperi kawalan jelajah, sistem Motion Track Brake dan sistem brek gandingan, Hill Hold Control, Slope Dependent Control, Load Dependent Control, pendikit elektronik ride-by-wire, sistem kawalan cengkaman, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), Suzuki easy start, dan Low RPM assist.

Sistem kawalan jelajah yang baharu ini mampu mengekalkan kelajuan yang telah ditetapkan oleh penunggang tanpa perlu memulas pendikit bagi mengurangkan kadar kepenatan. Kelajuan jelajah boleh diaktifkan dari kelajuan kira-kira 50 km/j hingga 160 km/j pada gear keempat atau ke atas menerusi suis pada bahagian kanan bar hendal, sementara suis pemilihan pada bahagian kiri pula boleh menetapkan kadar kelajuan yang dikehendaki. Kelajuan jelajah juga boleh dimatikan di bawah sesetengah kondisi, seperti contoh ketika penunggang menggunakan brek, ketika menggunakan tuil klac, membuat penukaran gear, ketika pendikit dipulas kembali, ketika kelajuan jentera di bawah 50 km/j, atau ketika pada posisi gear yang ketiga atau ke bawah, atau ketika tayar tergelincir. Sementara ciri Suzuki’s Drive Mode Selector (SDMS) menawarkan tiga tetapan bermula dari respons pendikit yang lebih tajam, sehinggalah kepada respons pendikit yang lebih lembut.

Untuk pasaran Malaysia, V-STROM 1050XT didatangkan standard dengan satu set side case aluminium tulen Suzuki berwarna perak yang mampu menambah tahap praktikaliti motosikal ini. Selain itu, VSTROM 1050XT juga hadir dengan kelangkapan eksklusif seperti under cowling aluminium, bar aksesori, lampu membelok LED, knucle guard, tempat duduk boleh laras, cermin penghadang angin boleh laras serta soket DC 12 V.

Turut didatangkan standard adalah topang tengah yang amat diperlukan oleh mana-mana motosikal kembara. Kedua-dua model Hayabusa dan V-STROM 1050XT kini boleh didapati di masa-masa pusat pameran Suzuki Big Bike World di seluruh negara. Kesemua motosikal Suzuki didatangkan standard dengan jaminan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km, disokong oleh jaringan 70 buah pusat jualan dan servis berpengalaman di seluruh negara. – SM

Kredit: EnjinDotCom

 

(Visited 279 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button