Lifestyle

Raja Muda Perlis Seru Penggiat Kulinari Abadikan Rasa Tradisi Negeri

27 Jun 2025 | Mata Ayer – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan para chef dan penggiat kulinari agar terus memartabatkan warisan rasa tradisi negeri Perlis dalam setiap sajian sebagai simbol identiti dan kebanggaan negeri.

Baginda bertitah demikian sewaktu berangkat ke program santapan eksklusif di Café HarumanGo, Mata Ayer, yang mempersembahkan gabungan kulinari moden dan warisan tempatan. Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Titah baginda, “Citarasa Perlis bukan sahaja unik dan lazat, malah penuh nilai kesihatan hasil ramuan semula jadi. Contohnya, Nasi Ulam Perlis kaya dengan herba dan ulam segar, sesuai untuk dipromosi sebagai sajian sihat dan autentik.”

Majlis yang turut dihadiri Datuk Rick Cheng, pemilik HarumanGo dan pengasas rangkaian Caffè Diem, menampilkan gandingan dua chef undangan:

  • Chef Lee Zhi Xi – Pengasas Eat and Cook & BarKar KL, tersenarai dalam Michelin Selected 2025

  • Chef Paul Cheng – Chef muda dari Caffè Diem yang kini menuntut di Paris

Mereka mempersembahkan menu inovatif berasaskan bahan tempatan seperti daun cekur, jantung pisang, ikan bilis, ulam raja, udang, dan Harumanis, digarap dengan teknik moden. Antara sajian yang mencuri perhatian termasuk:

  • Mini Pekasam Nasi Krispi

  • Serunding Ayam Daun Cekur

  • Ikan Salai & Harumanis dengan Emulsi Daun Pisang

  • Rendang Tulang Rusuk Istimewa bersama Nasi Ulam dalam Periuk Tanah

  • Harumanis Bakar bersama Ais Krim Pulut dan Kelapa

Majlis turut menyajikan teh elderflower dan kombucha Earl Grey sebagai simbolik sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Raja Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menterjemahkan warisan kulinari Perlis ke dalam persembahan antarabangsa. Baginda berharap usaha sebegini dapat memperkukuh posisi negeri sebagai destinasi pelancongan gastronomi utama negara.

Untuk rekod, sejak 2010, baginda berdua telah mempromosikan masakan Perlis merentasi 38 negara dan 65 bandar di seluruh dunia melalui inisiatif Promosi Masakan Perlis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button