Negeri

Raja Muda Perlis seru orang ramai derma darah

“Derma Darah Menyelamatkan Nyawa”. Justeru itu, rakyat diseru untuk hadir menderma darah secara tetap setiap tiga bulan. Bagi orang ramai yang memenuhi kriteria untuk menderma darah dan belum pernah menderma darah, tampillah menderma darah untuk memastikan bekalan darah di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar sentiasa mencukupi.

Demikian titah perutusan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi kempen ‘Perlis Hebat : Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ sempena ‘Hari Penderma Darah Sedunia’ yang diwartakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai 14 Jun setiap tahun.

Tema sambutan bagi menghargai sumbangan para penderma darah yang budiman serta penganjur-penganjur kempen derma darah bagi kali ini adalah “Derma Darah, Teruskan Nadi Kehidupan“ (Give Blood, Keep The World Beating).

Menurut Tuanku Raja Muda, objektif hari peringatan berkenaan adalah untuk terus menerus meningkatkan kesedaran yang lebih mendalam terutama kepada golongan belia bahawa menderma darah adalah tindakan murni yang memberi manfaat kepada semua masyarakat. Bekalan darah yang mencukupi hanya dapat diperoleh melalui sumbangan tetap oleh penderma darah secara sukarela. Komitmen penderma darah secara tetap akan membantu mengekalkan bekalan darah yang mencukupi dan selamat.

Pada kesempatan yang sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua para penderma darah dan penganjur-penganjur kempen derma darah yang telah banyak membantu mengekalkan bekalan darah di HTF Kangar dan berkata, ‘Sumbangan anda telah banyak menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang memerlukan’.

Tambah beliau lagi, ‘Walaupun bekalan darah di negeri Perlis masih baik, namun terdapat penurunan dalam kutipan darah sejak pandemik Covid-19 melanda negara ketika ini. Terdapat penurunan 10 – 15% kutipan darah semasa, berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Hospital Tuanku Fauziah Kangar memerlukan 150 hingga 200 beg darah seminggu untuk menampung keperluan pesakit’.

Gambar Arkib

(Visited 309 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button