Nasional

Pelantikan Menteri Pendidikan ditentukan oleh saya – Dr Mahathir

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan menentukan pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu kerana ia merupakan prerogatifnya.

“Akan ditentukan oleh saya kerana itu adalah prerogatif saya,” katanya ketika ditanya mengenai pelantikan Menteri Pendidikan selepas Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan pada 2 Jan lepas.

Dr Mahathir bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah di Putrajaya hari ini.

Ditanya sama ada peletakan jawatan Maszlee disebabkan cubaannya untuk membuka semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman seperti dilaporkan, Dr Mahathir berkata ia tiada kena mengena dengan perkara itu.

Beliau berkata terdapat banyak sebab yang membuatkan beliau berpendapat adalah perlu untuk Maszlee meletak jawatan.

“Surat yang saya tulis kepada beliau telah disebarkan kepada umum oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Seperti yang anda dapat lihat ada banyak sebab. Saya tidak kata semua yang beliau lakukan adalah salah.

“Terdapat beberapa perkara yang beliau lakukan adalah betul, tetapi atas sebab-sebab yang lain, saya berpendapat adalah perlu untuk beliau meletak jawatan, beliau bersetuju dan beliau meletak jawatan,” katanya.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa Jumaat lepas dalam sidang media di Kementerian Pendidikan pada 2 Jan.

Susulan itu, ada pihak mendakwa keputusan itu ada kaitan dengan rancangannya untuk membuka semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Putrajaya.

Pembukaan pusat itu dicadangkan susulan lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz ke Malaysia pada 2017, namun dibatalkan pada Ogos 2018 selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara.

Maszlee dalam laman Twitternya hari ini turut menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah kerana beliau tidak pernah membincangkan perkara itu semasa berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan dan pusat itu tiada kaitan dengan kementerian itu. – BERNAMA

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button