MahkamahNasional

Kes rasuah Bung Moktar- Zizie Izette ditangguh sementara tunggu rayuan

Didakwa dua pertuduhan rasuah berjumlah RM2.2 juta dan suapan RM262,500

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan penangguhan sementara kes membela diri atas tuduhan rasuah dan bersubahat Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette.

Permohonan ini dibenarkan sementara menunggu keputusan rayuan kedua suami isteri ini ke Mahkamah Rayuan.

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan pasangan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Sophian Zakaria memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan untuk penangguhan.

Bung dijadual memulakan sesi membela diri dengan memberi keterangan di mahkamah pagi tadi.

Keputusan itu mendorong Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob yang mempengerusikan perbicaraan menetapkan sebutan semula kes pada 27 Januari ini sementara menunggu prosiding di Mahkamah Rayuan yang dijadualkan dua hari sebelum itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How yang hadir bersama Sophian berkata, seorang timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan dijangka menetapkan tarikh pendengaran rayuan apabila perkara itu dibangkitkan bagi pengurusan kes pada 25 Januari ini.

Awal bulan Disember lalu, pasangan suami-isteri ini memfailkan rayuan masing-masing ke Mahkamah Rayuan selepas Azhar menolak permohonan mereka mencabar perintah diputuskan Rozina yang mengarahkan mereka membela diri pada 2 September tahun lepas (2022).

Azhar membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan dan berpendapat, Bung dan Zizie salah memfailkan usul, disokong oleh afidavit untuk memohon semakan keputusan Rozina.

Pihak pendakwaan menegaskan pasangan itu sepatutnya meminta semakan melalui surat kepada Mahkamah Tinggi.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai suapan semasa beliau menjadi Pengerusi Felcra.

Dia didakwa berbuat demikian untuk mendapatkan kelulusan Felcra membuat pelaburan unit Public Mutual berjumlah RM150 juta pada Jun 2015.

Zizie yang juga aktres Malaysia menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam perkara itu.

Pasangan suami isteri, masing-masing diwakili peguam M Athimulan dan K Kumaraendran. – FMT – SM

(Visited 337 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button