Agama

Raja Muda Perlis seru ibu bapa tumpu pembangunan akhlak anak-anak

Marilah kita sama-sama berusaha mendidik anak-anak kita dengan ilmu yang benar, serta memberi perhatian kepada pembangunan akhlak mereka, supaya mereka dapat menjadi individu yang bermanfaat kepada agama, bangsa, dan juga negara.

Adalah diyakini dengan adanya usaha yang gigih dan berterusan oleh semua pihak, kita akan dapat melahirkan generasi yang lebih cemerlang dalam pelbagai bidang, yang tidak hanya mampu menyumbang kepada masyarakat Islam tetapi juga kepada masyarakat global.

Pada masa yang sama, kita semua juga perlu berusaha sebaik mungkin untuk memastikan bahawa pendidikan yang diterima oleh anak-anak kita adalah pendidikan berkualiti yang dapat membina peribadi yang baik serta berlandaskan ajaran Islam yang sebenarnya.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs yang diadakan di Masjid Nurul Yaqin Kampung Cantik Bangun baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda yang turut diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Sumbangan wang tunai kepada asnaf-asnaf yang terpilih berdasarkan kariah masing-masing di negeri ini merupakan inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam usaha untuk mengurangkan beban golongan yang kurang bernasib baik ini bagi menampung keperluan harian mereka.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan untuk menyempurnakan penyerahan sumbangan daripada MAIPs itu kepada 75 orang penerima daripada kalangan anak kariah Kampung Cantik Bangun dan 75 orang penerima lagi dari kalangan anak kariah Kampung Bongor Kudung.

Setiap asnaf terpilih menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 dengan jumlah penuh sumbangan diagihkan oleh MAIPs pada kali ini sebanyak RM105,000.

Para asnaf juga menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma, ceramah menjauhi najis dadah daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ dari pihak MAIPs.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button