Nasional

Raja Muda Perlis seru anggota wataniah rapatkan barisan sebagai benteng negara

SETIAP anggota Rejimen Askar Wataniah diseru agar merapatkan barisan sebagai benteng pertahanan negara dan memberi jasa bakti agar angkatan yang unggul ini dapat diwariskan kepada anak cucu kita akan datang.

‘Marilah kita bersama-sama mengekalkan reputasi Askar Wataniah dan dalam masa yang sama tetap terus meningkatkan usaha dalam menggandakan pendaftaran Askar Wataniah khususnya di negeri Perlis ini’.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena perasmian ‘Laman Ikhtiar Hidup R504AW* di Kem Bukit Keteri semalam.

Hadir sama di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah pasukan simpanan tersebut ialah Panglima Briged Ke-30 Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Zaki Abu.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Tuanku Komander kepada rejimen yang berpegangkan slogan “Latih Untuk Perang” itu, ‘Dalam menghadapi pelbagai cabaran, janganlah jadikan alasan untuk berfikiran negatif. Pemikiran minda perlu ditukar dengan memberi komitmen 100% dan menganggap ianya sebagai semangat dalam merealisasikan visi rejimen. Oleh itu, buatlah persediaan rapi dalam menghadapi sebarang ancaman konflik serantau, polemik politik yang tidak stabil dan ancaman wabak yang tiada penghujungnya’.

Sementara itu, Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak memaklumkan bahawa sebelum majlis itu, turut dilaksanakan ialah Perbarisan Pelancaran Latihan Askar Wataniah 2022, Perbarisan Komander, Penyampaian Sijil Op PENAWAR dan juga Penyampaian Sijil Tamat Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS).

Mohd Zaidi mengilhamkan idea pengwujudan laman tersebut manakala Pegawai Waran 1 Muhammad Aris Abdullah mengetuai pasukan yang menjayakan kerja-kerja pembinaan dan pelaksanaannya dengan sungguh baik dan menarik sekali.

Tambah beliau, ‘Sesungguhnya keberangkatan Tuanku Raja Muda Perlis selaku Komander memberi impak yang sungguh besar kepada seluruh warga rejimen dalam menjayakan aktiviti serta turut memberi suntikan moral kepada semua dalam terus melaksanakan tugas dengan penuh jujur dan ikhlas demi untuk negara Malaysia tercinta.’

GALERI

(Visited 484 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button