Nasional

Raja Muda Perlis santuni mangsa ribut sekitar Kangar

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyantuni mangsa ribut yang berlaku kira-kira jam 5 petang pada 28 Julai lalu melibatkan sebanyak 3 buah rumah terjejas di Kampung Bakau dan Kampung Guar Syed Alwi di sekitar Kangar pada semalam.

Keberangkatan baginda diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj. Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengawai Penyelaras Zakat Zon Barat MAIPs, Ahmad Shafiq Mustafa Khalili.

Mangsa, Amir Mohd Noor, 54, melahirkan rasa syukur atas keberangkatan Tuanku Raja Muda dan tindakan cepat pihak MAIPs dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri yang hadir menghulurkan bantuan.

Sempena kunjungan tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengurniakan sumbangan bantuan MAIPs sebanyak RM1,000 kepada mangsa untuk tindakan segera memperbaiki rumah yang mengalami kerosakan atap.

Selain itu, dua mangsa lagi, Rosli Ibrahim, 58 dan Rokiah Latif, 75 turut menerima bantuan kecemasan bencana masing-masing daripada MAIPs.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkongsi beberapa tips kepada masyarakat dalam menghadapi ribut petir. Walaupun ia jarang berlaku di Perlis berbanding di tempat-tempat lain, namun, adalah mustahak supaya rakyat berilmu dan bersedia pada sebilang masa khususnya apabila berada di luar negeri atau negara ini.

Antaranya ialah hindari kawasan lapang atau objek yang tinggi, berlindunglah di dalam rumah, tutup semua pintu dan  tingkap serta tutup suis utama elektrik dan saluran gas.

Pada masa yang sama, jangan pegang barangan yang diperbuat daripada besi, elakkan untuk berada lama di dalam bilik air atau berhampiran dengan paip air yang diperbuat daripada besi.

Sekiranya sedang memandu, sila berhentikan kenderaan di tempat yang selamat, nyalakan lampu kecemasan dan jika berada di tempat lapang pula, bersedialah dalam kedudukan pertahanan petir dan basahkan pakaian yang dipakai bagi mengurangkan risiko kecederaan

Tempat-tempat yang selamat untuk berlindung adalah di tempat yang rendah atau di dalam longkang.

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button