Rencana

Pendidikan pemakanan ‘benteng awal’ anak atasi masalah bantut

BERDASARKAN Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2019, satu daripada lima orang kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami masalah bantut (21.8%). Masalah bantut ini terjadi apabila kanak-kanak tidak mendapat makanan yang berkualiti dan mencukupi dalam suatu tempoh masa yang lama. Hal ini boleh memberi kesan kepada perkembangan fizikal, psikologi dan sosial kanak-kanak, sistem imuniti serta masalah kekurangan fungsi intelektual untuk jangka masa panjang.

 

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku antaranya adalah faktor persekitaran iaitu kurang kesedaran dan pengetahuan tentang kepentingan pengambilan makanan yang sihat, berkhasiat, mencukupi serta pelbagai untuk kanak-kanak. Oleh itu, langkah pertama yang wajar diberi perhatian adalah membentuk kesedaran dan membantu kanak-kanak memahami kepentingan memilih makanan sihat. Ibu bapa bukan sekadar berperanan menyediakan hidangan sihat kepada anak, tetapi perlu menerangkan manfaat dan khasiat di sebalik makanan disediakan. Sudah pasti sayur dan buah yang mengandungi vitamin serta mineral, penting dan perlu dititikberatkan selain pengambilan hidangan karbohidrat seperti nasi dan mi serta protein seperti lauk-pauk.

 

Realitinya, kanak-kanak termasuk golongan berisiko tinggi menghadapi masalah kesihatan yang lain berpunca daripada makanan yang memberi kesan kepada tahap imunisasi mereka. Ibu bapa juga boleh menunjukkan contoh yang baik ketika menikmati hidangan bersama anak bagi membiasakan mereka dengan makanan lengkap dan berkhasiat. Hal ini kerana, amalan pemakanan tidak sihat bukan sahaja memberi kesan kepada tahap perkembangan dan kesihatan kanak-kanak, tetapi juga aspek psikososial.

Amalan pemakanan kanak-kanak terbentuk seawal usia dua hingga enam tahun dan amat cenderung kekal sehingga dewasa. Oleh itu, penerapan amalan pemakanan sihat dan seimbang perlu bermula sejak awal usia. Justeru, tiada persekitaran lebih baik dan berkesan untuk tujuan ini melainkan bersama ibu bapa serta keluarga di rumah.

Bagaimanapun, cabaran utama yang menghambat ibu bapa adalah faktor dalaman kanak-kanak iaitu kecenderungan pemilihan makanan, cerewet serta neofobia makanan. Ketika ini, kanak-kanak meluangkan waktu pagi di sekolah, ditambah pula pelbagai aktiviti luar ketika waktu petang termasuk sekolah rendah agama. Kebanyakan masa anak adalah di luar pemantauan ibu bapa yang menyebabkan mereka lebih bebas membuat pilihan makanan dan cenderung memilih makanan ringan tinggi pengawet. Ibu bapa bekerja menghadapi kekangan masa dan tenaga untuk makan bersama walaupun pada waktu makan malam. Jalan mudah diambil ramai ibu bapa adalah membeli makanan bungkus ketika perjalanan pulang dari tempat kerja. Ia diakui satu alternatif, namun ramai bersetuju hidangan terbaik untuk keluarga ialah yang disediakan ibu di rumah. Seorang ibu pasti lebih selektif mengenai penyediaan bahan mentah yang bersih dan berkualiti.

Hakikatnya, keadaan ini menyebabkan kanak-kanak tidak rela untuk merasa makanan yang mereka tidak biasa rasa atau dikenali sebagai neofobia makanan kerana kerap disediakan makanan dari luar. Seterusnya boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan. Sikap neofobia kanak-kanak juga mungkin berpunca daripada neofobia makanan ibu bapa.

Lazimnya, makanan yang ibu bapa neofobik terhadapnya kurang didapati di rumah atau tidak pernah disediakan di rumah, justeru tanpa disedari, kanak-kanak mungkin terbina sikap neofobia terhadap makanan yang sama. Dalam hal ini, ibu bapa perlu memahami peranan mereka untuk memupuk sikap sukakan makanan sihat dalam diri anak-anak. Ibu bapa hendaklah menjadi teladan dalam pemakanan kerana kebiasaan melihat makanan sihat disajikan dengan cara yang menyelerakan di rumah adalah satu langkah dalam mengatasi neofobia makanan.

 

Pengambilan makanan mengikut jumlah saranan adalah penting bukan sahaja bagi mengelak berlakunya masalah malnutrisi tetapi perlu bagi mencegah dari penyakit kronik serta penyakit akibat kekurangan mikronutrien. Kecenderungan pemakanan kanak-kanak timbul kerana pemilihan pemakanan yang dipengaruhi oleh rasa makanan tersebut. Menurut kajian, bayi dilahirkan dengan reseptor rasa manis, masam, garam, pahit dan umami. Secara genetik, kanak-kanak mempunyai keinginan yang tinggi terhadap rasa manis dan tidak menyukai rasa pahit kerana ia adalah refleksi secara semula jadi untuk melindungi diri daripada makan makanan yang boleh membahayakan atau beracun untuk tubuh badan.

Tambahan pula, kanak-kanak dilahirkan dengan pilihan pemakanan yang diwarisi secara genetik dan keupayaan untuk mengaitkan rasa makanan dengan akibat apabila mengambil makanan tersebut. Dengan cara ini, kanak-kanak belajar tentang makanan yang baik atau tidak baik untuk mereka. Selain itu, faktor ketinggian (genetik) ibu bapa iaitu ketinggian ibu kurang daripada 150 sentimeter (sm) serta ketinggian bapa kurang daripada 160 sm juga boleh menyebabkan anak mereka mengalami masalah bantut yang adalah salah satu cabang masalah malnutrisi.

Maka, pemahaman tentang faktor-faktor yang mendasari keutamaan pemilihan pemakanan oleh kanak-kanak boleh menyumbang kepada penerimaan rasa baru yang tidak dikenali mereka terutamanya tentang rasa makanan sihat yang mungkin asing bagi mereka. Oleh itu, kajian dari sekumpulan penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) beserta kerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengformulasi model pendidikan pemakanan berasaskan keperluan tenaga dan selera membabitkan kanak-kanak di usia TASKA membabitkan kanak-kanak berumur antara dua hingga empat tahun.

 

Menerusi kajian ini, satu model Pendidikan Pemakanan yang berasaskan keperluan tenaga dan selera dibangunkan untuk membantu kanak-kanak TASKA yang bantut bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka. Dapatan kajian ini turut memberi input kepada kanak-kanak, ibu bapa, guru TASKA serta agensi kerajaan khususnya KPM dan KKM untuk segera melaksanakan Pendidikan Pemakanan terutamanya di TASKA. Hal ini penting kerana tabiat pengambilan makanan yang lengkap nutrisi perlu dipupuk kepada kanak-kanak sejak kecil lagi. Hal ini bertujuan untuk mendidik kanak-kanak tentang kepentingan pengambilan sihat dan berkhasiat dalam diet harian mereka.

Ditulis oleh:

Dr. Intan Farahana Abdul Rani
Penyelidik Pusat Penyelidikan Pedagogi & Inovasi (CPRI)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Baca : Pusat Pengajian Bahasa Melayu UPSI di Uzbekistan Johan PABM tiga tahun berturut-turut

(Visited 106 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button