BanjirNasional

Tengkujuh belum berlalu, 55 korban banjir, 2 hilang di Pahang

MUSIM tengkujuh masih belum berakhir. Penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan lazimnya dilanda banjir saban tahun, perlu membuat persiapan awal untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk memastikan perabot dan peralatan elektrik di dalam rumah diletak tinggi.

Setakat ini, 55 nyawa terkorban manakala dua lagi masih hilang dalam tragedi banjir yang melanda beberapa negeri sejak Disember tahun lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, Selangor mencatat jumlah tertinggi kematian iaitu 25 kes.

“Ini diikuti Pahang (21), Kelantan (4), Sabah (tiga) dan Negeri Sembilan (satu).

“Dua masih hilang dan mangsa hilang itu ialah di Pahang,” katanya dalam sidang media khas berkenaan banjir di Bukit Aman, hari ini.

Pada sidang media, Hazani juga berkata, masih terdapat 172 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tujuh negeri dengan keseluruhan mangsa banjir 13,322 orang membabitkan 3,989 keluarga.

Secara keseluruhan, katanya, jumlah mangsa banjir menurun dan mangsa banjir di Johor yang meningkat.

Hazani berkata, Polis akan memohon daripada kerajaan lima bot di setiap 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sebagai usaha untuk meningkatkan keupayaan dalam menyelamatkan mangsa banjir.

“Kawasan seperti Pantai Timur membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan, termasuk sebahagian Johor dan pantai timur Sabah, menjadi fokus pasukan Polis ketika musim banjir,” katanya. – SM

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button