Alam Sekitar

Raja Muda Perlis percaya sasaran 100 juta pokok ditanam akan dicapai

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail percaya, di atas usaha yang berterusan oleh pihak Kementerian dan Jabatan serta penglibatan semua pihak, objektif ‘Program Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok’ dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan menjelang tahun 2025.

Pendekatan kempen yang kreatif dan unik ini dapat menarik minat rakyat untuk terlibat. Ini dibuktikan dengan pengendalian program yang melibatkan pelbagai kumpulan sukarelawan termasuk peserta daripada dalam dan luar negeri Perlis.

Justeru, baginda berharap seluruh masyarakat dapat mengambil peluang ini bagi melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti penanaman pokok yang dianjurkan oleh Kementerian dan Jabatan Perhutanan yang secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada masyarakat sejagat selaras dengan tema Hari Hutan Antarabangsa iaitu “Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat”.

Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan merasmikan ‘Program Kembara Hijau Bersama Himpunan Outdoorians Malaysia (HOM) Perlis Sempena Kempen Penghijauan Malaysia Dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022’ yang diadakan di Kompleks Basikal Lasak Sungai Batu Pahat tengahari ini.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni.

Hadir sama ke program yang diadakan sebagai satu bentuk kempen kesedaran bagi mengalakkan rakyat terlibat dalam aktiviti penanaman pokok sekaligus dapat memelihara dan memulihara ekosistem dan biodiversiti negara kita adalah Menteri Besar Dato’ Seri Azlan Man dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, sebenarnya jika setiap di antara 32.4 juta rakyat Malaysia mengambil inisiatif sendiri untuk menanam empat pohon pokok, lebih kurang sebanyak 130 juta pohon pokok yang baru akan berjaya ditanam dalam masa 10 minit sahaja.

Turut diadakan di majlis tersebut ialah persembahan deklamasi sajak oleh Pegawai SISC (School Improvement Specialist Coaches) Azlina Ahmad, penyampaian sijil dan plak Program Penghijauan Malaysia, lawatan ke Pameran HOM dan acara simbolik menanam pokok.

(Visited 293 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button