Nasional

Raja Muda Perlis nasihat perokok di Perlis dapat khidmat Klinik Berhenti Merokok

Perokok di negeri Perlis dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) di mana-mana klinik kesihatan yang berdekatan dengan rumah masing-masing dengan segera.

Ini adalah kerana asap rokok sangat membahayakan kesihatan diri sendiri dan juga ahli keluarga tersayang. Ia mengandungi lebih kurang 4,000 bahan kimia beracun serta kita-kira 63 daripada bahan kimia tersebut boleh menyebabkan barah yakni kanser.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 32 orang mangsa terkesan ekoran ribut tropika yang melanda Perlis pada 18 dan 19 September baru-baru ini di Masjid Al-Mustaqim Seriab dekat Kangar pada khamis malam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Imam 1 masjid berkenaan, Mohammad Abdul Ghani.

Menurut Mohd Nazim, seramai 20 mangsa tersebut menerima bantuan bencana. Selain daripada itu sebanyak 4 mangsa menerima bantuan penuh baikpulih rumah bernilai RM10,000 sehingga RM30,000. Sebahagian lain pula telah menerima bantuan melalui program ziarah dan turun padang pihak MAIPs dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Persatuan Komuniti Sukarelawan Negeri Perlis.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Negeri Perlis Dr Sirajuddin Hashim mengulas mengenai topik yang sama bahawa hasil ‘Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 bagi Penyakit Tidak Berjangkit’ mendapati bahawa sebanyak 21.3% penduduk di Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas adalah perokok. Negeri Perlis sendiri telah mencatatkan prevalens sebanyak 20.6 peratus dengan anggaran seramai 35,398 orang atau 1 dalam 5 orang penduduk merupakan perokok.

Tambah beliau, antara contoh bahan kimia beracun di dalam asap rokok adalah; Tar (bahan untuk membuat jalan raya), Ammonia (bahan dalam pencuci lantai), Napthylamine (ubat gegat), Arsenik (racun anai-anai), Nicotine (bahan yang boleh mendatangkan ketagihan), Kadmium (terdapat dalam bateri), DDT (ubat nyamuk), Formaldehyde (untuk mengawet mayat), Butane (gas yang boleh membunuh), Methanol (bahan pembakar untuk roket), Hydrogen cyanide (racun) dan Toluene (bahan pelarut).

(Visited 246 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button