NasionalPolitik

Jawi: Jiao Zong, Dong Zong cabar Perlembagaan

GABUNGAN Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan  Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia(Dong Zong) dilaporkan ‘marah’ kepada Kementerian Pendidikan berikutan tidak mengikut kehendak mereka.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebelum ini meminta semua pihak bersikap rasional berhubung isu pengenalan tulisan khat dan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu bagi murid tahun empat yang akan dilaksanakan tahun depan.

Menurut Maszlee,  tindakan sesetengah pihak yang beremosi sehingga sanggup memperjudikan masa depan kanak-kanak dilihat hanya akan merugikan negara.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang juga menolak permohonan parti Gerakan supaya pembelajaran tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.

Gerakan yang pernah menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) memfailkan saman terhadap kerajaan Pusat pada 18 September lalu, bagi mencabar keputusan kerajaan  melaksanakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Amarjit Serjit Singh dalam keputusannya berkata, Jawi adalah sebahagian daripada bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Justeru katanya, pelaksanaan kelas Jawi tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun mahkamah secara jelas telah menyatakan kedudukan tulisan Jawi dalam Perlembagaan Persekutuan, namun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina ini tetap dengan sifat kiasu dan ‘keras kepala’ mereka.

Sikap yang ditunjukkan, benar-benar amat menghairankan dan hakikatnya tidak dapat diterima oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Tulisan Jawi bukan isu agama. Tulisan Jawi  adalah lambang budaya masyarakat negara ini.

Ia menjadi penghubung dan bahasa komunikasi sebelum tulisan rumi yang dipopularkan Barat diguna secara menyeluruh di seluruh dunia.

Mereka yang belajar Jawi tidak diminta untuk memeluk Islam. Sama juga anak-anak Melayu yang dihantar ke sekolah-sekolah Cina bagi mempelajari cara pemikiran dan bahasa mereka.

Malah, kaedah ini dilihat sebagai proses asimilasi yang dapat meningkatkan lagi nilai-nilai hidup masyarakat pelbagai kaum.

Dalam hubungan ini, faktor ‘hilang sabar’ mereka kerana  terpaksa menunggu lebih sejam dalam bilik mesyuarat sebelum dapat berjumpa pegawai Kementerian Pendidikan bagi menyerahkan memorandum mengenai pengajaran Jawi dilihat sebagai isu kecil berbanding isu yang sebenar.

Jiao Zong, Dong Zong dan beberapa pertubuhan Cina sebelum ini telah mencapai kesepakatan untuk menolak pengajaran tulisan Jawi dalam sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK).

Mereka juga tidak berpuas hati apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), ibu bapa dan pelajar boleh memilih untuk menjalankan pengajaran tulisan Jawi atau sebaliknya.

Keputusan itu, menurut pertubuhan-pertubuhan berkenaan, telah mengecualikan lembaga pengelola sekolah.

Mereka lebih pentingkan lembaga pengelola sekolah berbanding Perlembagaan Persekutuan.

Sedangkan menerusi Perlembagaan Persekutuan, mereka  diberi hak untuk bersuara dan  bersama-sama memakmurkan negara merdeka ini.

Pesanan kepada kumpulan ini – belajarlah menghormati orang lain sebelum ‘hilang sabar’ dan meminta orang lain menghormati kita!!

(Visited 172 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button