Alam Sekitar

Lakukan operasi pembenihan awan jika bacaan IPU lebih 150 – Nik Nazmi

Operasi pembenihan awan (OPA) dalam negara akan dilakukan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh melebihi 24 jam, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Nik Nazmi berkata, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) yang menyenaraikan tindakan agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam pengurusan jerebu.

Setakat 5 petang ini, tiga kawasan mencatatkan IPU pada paras tidak sihat dengan Nilai, Negeri Sembilan kekal kawasan paling terjejas dengan bacaan IPU 155.

Menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) (https://apims.doe.gov.my/api_table.html), Cheras, Kuala Lumpur mencatatkan IPU 154 manakala Seremban, Negeri Sembilan catat IPU 115.

Ditanya sama ada terdapat insiden kebakaran hutan dalam negara yang menyumbang kepada jerebu, Nik Nazmi mengesahkan tiada kebakaran yang berlaku baru-baru ini kecuali pada Mei lepas dan merujuk insiden tersebut sebagai ‘jerebu tempatan’.

“Data yang kita terima menunjukkan ada pembakaran di luar (luar negara) dan tentunya data yang kita peroleh adalah menerusi Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi,” katanya tanpa merujuk mana-mana negara.
Beliau berkata, NRECC juga akan meneruskan komunikasi dengan negara rantau termasuk Indonesia dalam aspek pengurusan alam sekitar.

Dilaporkan kerajaan Indonesia melalui Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) menafikan dakwaan berhubung jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia melintasi Malaysia.

Perkara itu dinyatakan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar menerusi satu kenyataan rasmi di Jakarta semalam (2 Oktober) bahawa aduan Malaysia mengenai jerebu Indonesia adalah tidak tepat.

Terdahulu, Nik Nazmi mengadakan lawatan ke taman tema didik hibur (edutainment) WSP yang menampilkan teknologi dan pameran interaktif berupa alam dinasour, hidupan laut dan serangga. – Bernama

(Visited 29 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button