Nasional

Raja Muda Perlis melawat Galeri Seni Lukis Negeri

Galeri Seni Lukis Negeri Perlis yang terdapat di Perpustakaan Awam Negeri Perlis Cawangan Simpang Empat mempunyai keistimewaan dan keunikkannya tersendiri iaitu menempatkan hasil-hasil lukisan yang telah dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sejak beberapa tahun yang lalu.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Demikian dimaklumkan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Azizi Janan ketika mengalu-alukan para peserta yang mengambil bahagian mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program ‘MAIPs Peduli Bilangan ke 55 bagi tahun 2020’ baru-baru ini.


Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Azizi, hingga kini terdapat lebih 350 karya yang disumbangkan oleh City Art Gallery, 1MCAT (Malaysia Contemporary Art Tourism), Persatuan Pelukis Negeri Perlis, ASWARA dan lain-lain lagi.

Tambah beliau lagi, koleksi yang sedia ada antara lain terdiri daripada karya catan, lukisan, cetakan dan juga fotografi.

Galeri berkenaan dibuka kepada orang ramai dan adalah percuma. Seluruh masyarakat di negeri Perlis khususnya yang bermastautin di selatan Perlis dialu-alukan datang beramai-ramai untuk mengunjungi galeri ini. Sambil-sambil melawat galeri seni lukis tersebut, para pengunjung juga turut boleh membaca pelbagai koleksi buku yang disediakan di Perpustakaan berkenaan.

Waktu perkhidmatan ialah Isnin hingga sabtu dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Terdahulu, Tuanku Raja Muda berkenan singgah bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih di sekitar kawasan kariah Masjid Putra Simpang Empat.

Pada kesempatan yang sama, menyentuh mengenai situasi semasa Covid-19, Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan rakyat Perlis supaya jika kurang sihat, kekal di rumah kecuali untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan kadar segera.

(Visited 211 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button