Nasional

Pesara rugi RM26,000 percaya scam SMS

BERHATI-hatilah apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dan lebih malang apabila mesej dari nombor “68886” ini telahpun memerangkap seorang pesara.

Akibatnya duit berjumlah RM26,000 lesap sekelip mata setelah terpedaya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kangar telah menerima satu laporan semalam yang membabitkan mangsa seorang bekas jurubahasa mahkamah yang berusia 60 tahun.

Beliau berkata, mangsa mendakwa telah menerima SMS dari nombor “68886” yang menyatakan terdapat transaksi penggunaan wang menerusi kad kredit bank milik dia ke “eWallet shopping online”.

“Mangsa kemudiannya terus menghubungi nombor talian “0327146103” yang tertera dalam SMS dan kemudiannya bercakap dengan individu yang menyamar sebagai pegawai bank bagi menafikan yang dia mempunyai kad bank tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa kemudian diminta untuk menyerahkan ID dan kata laluan perbankan atas talian miliknya kepada suspek.

“Suspek memberitahu tujuannya bagi semakan ke atas akaun bank mangsa yang didakwa sedang digodam oleh individu yang tidak dikenali,” kata Yusharifuddin.

Disebabkan percaya, Yusharifuddin berkata, mangsa menyerahkan maklumat perbankan atas talian miliknya itu kepada suspek sehingga menyebabkan berlaku pindahan wang oleh suspek secara atas talian yang dilakukan tanpa disedari mangsa.

Katanya, setelah maklumat perbankan atas talian milik mangsa diserahkan, baharulah menyedari bahawa wang RM26,000.00 telah dipindahkan keluar dari akaun bank miliknya pada 5 Julai.

Yusharifuddin berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu dan polis akan mengumpul maklumat pemilik akaun bank yang digunakan suspek untuk transaksi pengeluaran wang tersebut.

Sehubungan itu katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah panik dan percaya dengan SMS dan panggilan sedemikian.

Tanya dan buat semakan pengesahan terlebih dahulu di cawangan Bank yang terdekat sebelum mengikut apa-apa arahan yang hanya dibuat melalui talian.

Orang ramai boleh membuat rujukan dan semakan berkaitan jenayah komersial menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melalui CCID Scam Response Center di talian 03 – 2610 1559 atau 03 – 2610 1599.

Atau hubungi Hotline IPK Perlis di talian 04-9872222 dan hotline IPD Kangar 04-9082222 untuk pertanyaan lanjut.

Di samping itu boleh mengikuti perkembangan berkaitan modus operandi terkini jenayah komersial di Facebook (FB) JSJK Perlis. – SM

(Visited 4,846 times, 3 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button