MahkamahNasional

Najib kemuka permohonan gugur Ketua Hakim Negara

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan agar Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada panel Mahkamah Persekutuan bagi mendengar rayuannya.

Peguam utama Hisyam Teh Poh Teik memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan memfailkan permohonan itu pada malam Isnin.

Katanya, salinan permohonan itu sudah diserahkan kepada pihak pendakwaan dan Pendakwa Raya ad-hoc, V Sithambaram mengesahkan salinan tidak ditutup diterima pihaknya.

Hisyam kemudian menggesa mahkamah menyelesaikan permohonan tarik diri yang dikemukakan Najib sebelum pihak pembelaan meneruskan hujah kes mereka.

Tengku Maimun kemudian bertanya apa yang berlaku kepada rayuan utama.

“Kami di sini bukan untuk membuang masa,” katanya.

Hisyam dalam responsnya berkata, lebih baik menyelesaikan permohonan tarik diri itu dahulu sebelum pihak pembelaan meneruskan rayuan.

Iskandar kemudian mencadangkan Hisyam menjawab hujah pendakwaan berhubung perkara undang-undang mengenai cara mahkamah boleh memutuskan sesuatu kes jika peguam tidak memfailkan apa-apa kepada mahkamah.

Bekas perdana menteri itu membuat rayuan atas sabitan oleh hakim perbicaraan Nazlan Ghazali bagi semua tujuh pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Ia membabitkan kesalahan salah guna kuasa, penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC International di mana beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dua tahun lalu.

Ketua hakim negara mengetuai panel lima hakim mahkamah tertinggi yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim mahkamah tertinggi Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Mohamad Zabidin Diah.

Najib dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Beliau disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh Nazlan pada 28 Julai 2020.

Pada 8 Dis 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukumannya. Hakim lain yang bersidang ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Peguam V Sithambaram, melakukan pendakwaan menerusi lesen khas diberikan oleh peguam negara, dan dibantu oleh Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei dan Mohd Ashrof Adrin Kamil. – FMT – SM

(Visited 258 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button