Berita

Raja Muda Perlis lancar buku Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A Aziz Deraman Siri I – Siri III

KUALA LUMPUR: Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan buku Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A Aziz Deraman Siri I – Siri III, bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada jumaat.

Keberangkatan baginda bersama-sama dengan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda baginda berdua iaity Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail disambut oleh Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan barisan pengurusan tertinggi DBP.

Buku himpunan ucapan dan asas pemikiran yang mempunyai tiga siri ini telah dikumpulkan sejak Dato’ A Aziz Deraman mula menerajui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu dari tahun 1994 hingga tahun 1999.

Buku ini dibahagikan kepada empat tema utama, iaitu Wadah Bahasa Melayu Asas Pembinaan Tamadun; Wadah Sastera Cerminan Akal Budi; Wadah Budaya Teras Jati Diri serta Wadah Pengurusan Pentadbiran, Imej Terpelihara Organisasi Hebat.

Selain pernah menjadi Ketua Pengarah DBP hingga menamatkan khidmatnya pada tahun 2004, beliau juga merupakan penulis dan penggiat sastera yang turut aktif menghasilkan esei, puisi dan artikel.

Antara buku lain hasil penulisan Dato’ A Aziz Deraman yang diterbitkan oleh DBP ialah Asas Pemikiran Kebudayaan Malaysia, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia, Globalisasi dan Peradaban di Malaysia serta Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia.

Sebelum acara pelancaran, turut diadakan Bicara Buku Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A Aziz Deraman Siri I hingga Siri IlI yang menampilkan Dato’ A Aziz Deraman dan Prof. Dr. Hashim Ismail sebagai panel serta Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Roziah Md Yunus bertindak selaku moderator.

Selain itu, pada majlis yang sama turut diadakan majlis pelancaran buku Perlis Food Promotion terbitan Universiti Malaysia Perlis dan buku Gutsy Asian.

Turut hadir dalam majlis pelancaran ini ialah Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah Dasar, Haji Johari Md. Hasan; SN Dato’ Rahman Shaari, karyawan DBP serta pengunjung yang hadir memeriahkan reruai DBP bersempena dengan PBAKL 2025.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button