Nasionalpilihan

Pembahagian kerusi BN, PH hampir selesai – Ahmad Zahid

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses pembahagian kerusi membabitkan parti itu dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri sudah hampir selesai.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, rundingan yang hampir selesai itu akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu mesyuarat Ahad ini.

Katanya, Anwar yang juga Pengerusi PH akan mengadakan mesyuarat penyelarasan Kerajaan Perpaduan Ahad ini dan mendengar persiapan parti-parti menghadapi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Insyallah rundingan antara BN dan PH sudah semakin selesai dalam menentukan kerusi-kerusi yang akan diagihkan bagi menghadapi PRN di enam buah negeri nanti.

“Semua keputusan di peringkat negeri-negeri akan dibawa kepada parti masing-masing sebelum rundingan di peringkat nasional untuk dimuktamadkan.

“Saya yakin di peringkat negeri ada persefahaman yang baik antara pemimpin-pemimpin dalam BN dan PH,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Melaka di kediaman Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, Melaka di sini malam tadi.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kebanyakan negeri telah mendapat kesefahaman yang baik mengenai pembahagian kerusi di antara pemimpin-pemimpin parti.

Jelasnya, mana-mana kerusi yang telah diselesaikan antara kedua-dua parti itu akan diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu.

“Saya yakin parti-parti dalam PH, namun kami memandang penting PRN ini kerana ianya merupakan manifestasi terhadap pengiktirafan kepada Kerajaan Perpaduan yang memimpin Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Tambahnya, segala persiapan akan dibuat serapi yang mungkin namun apa yang lebih penting adalah kerjasama antara jentera parti bukan sahaja diperingkat negeri tetapi diperingkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan juga di peringkat lokaliti. – SM

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button