Acara

Raja Muda Perlis ketuai Eksesais Perbah

KOTA  KINABALU 7 Mac – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam tiba di Sabah untuk mengetuai Eksesais Kerajaan Perlis ke Sabah (Eks Perbah) kali ke-16 selama empat hari.

Program yang dianjurkan sejak 2003 itu bertujuan mempamerkan dan memberikan sokongan moral kepada anggota keselamatan bertugas di sempadan negara di Sabah serta ditambah baik dan diperluaskan pelaksanaannya dengan turut memasukkan elemen kemasyarakatan.

Program ini merupakan satu program lawatan tahunan kerajaan negeri Perlis ke kawasan-kawasan gerakan keselamatan di Sabah dan turut disertai oleh anggota pentadbiran kerajaan negeri Perlis, ketua jabatan, tokoh korporat dan pakar motivasi daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP).

Keberangkatan tiba Baginda disambut dengan penuh hormat oleh Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah, Mastina Ibnu Hassan dan Timbalan Pengarah Bahagian Istiadat dan Protokol, Jabatan Ketua Menteri Sabah, Muhammad Ikhwan Ghulam Jelani.

Mengiringi baginda dalam lawatan ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali, serta dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Muhammad Azmir Azizan dan Mohd Ridzuan Hashim.

Turut hadir ialah Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), Dr. Noriman Rojulai.

Lawatan tahunan ini bertujuan untuk terus memperkukuh peranan Institusi Diraja dan Kerajaan Negeri Perlis dalam menyampaikan sumbangan bersempena bulan Ramadan. Selain itu, ia juga merupakan satu inisiatif bagi menaikkan moral serta memberikan sokongan kepada pasukan keselamatan yang bertugas di perbatasan negara.

Sebagai pembuka tirai lawatan, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan delegasi telah mengunjungi Masjid Ibnu Battuta di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Teluk Sepanggar. Ahli delegasi berpeluang melawat kapal selam Scorpene milik TLDM.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button