Berita

Raja Muda Perlis ingatkan semua pihak tidak memandang enteng penularan varian Omicron

Lonjakan kes jangkitan varian Omicron yang semakin mengganas di beberapa buah negara pada ketika ini amat membimbangkan dan mesti diambil perhatian serius oleh semua. Perkembangannya dalam tempoh beberapa minggu dan bulan yang mendatang ini hendaklah dipantau dengan sebaiknya oleh semua.

Dalam mempersiapkan kita menghadapinya buat masa ini khususnya dalam tempoh cuti panjang pada penghujung tahun ini, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan supaya para pemilik premis tempat tarikan pelancong samada dikendalikan oleh agensi kerajaan, swasta ataupun individu hendaklah sentiasa memastikan bilangan pengunjung dihadkan dalam satu-satu masa bagi mengelakkan kesesakan. Para pengunjung yang hadir juga mestilah sentiasa diingatkan supaya mematuhi SOP sedia ada dan pastikan sanitasi dijalankan secara berkala.

Tuanku Raja Muda juga mengingatkan seluruh masyarakat agar tetap patuh dengan SOP yang telah ditetapkan walaupun hanya bersama keluarga atau rakan taulan dalam menikmati juadah di premis atau kedai makan dengan memendekkan masa makan di kedai dan hanya tanggalkan pelitup separuh muka semasa hendak menyuap makanan atau minum.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam program MAIPs Peduli Khas Bilangan ke-56 bagi tahun 2021 yang pada kali ini turut mendapat kerjasama daripada FGV Holdings Berhad baru-baru ini.

Tiga buah keluarga asnaf terpilih di sekitar kawasan Simpang Empat iaitu Azizan Hasan 67, Hatiah Abdul Wahab 78 dan Latif Saidin 66 masing-masing menerima RM700 tunai, beras serta bekalan makanan mentah daripada MAIPs.

Mereka juga bertuah kerana masing-masing turut menerima sumbangan tambahan berupa RM500 tunai, sekotak bahan makanan mentah serta hasil produk keluaran FGV daripada syarikat berkenaan, beberapa kotak pelitup separuh muka daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan produk L’Oreal daripada Puan Eena Khalil.

Mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra ialah Pengerusi Kumpulan FGV Holdings Berhad, Dato’ Dzulkifli Abd Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd Nazrul Izam Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim menerangkan bahawa setakat ini didapati bahawa varian Omicron ini lebih mudah berjangkit berbanding dengan varian Delta dan menyebabkan peningkatan kepada bilangan kemasukan kes-kes ke hospital. Sehubungan itu pengambilan vaksin yang lengkap dan dos penggalak bagi mereka yang telah dikenalpasti terutamanya golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi amatlah penting bagi mengurangkan keterukan dan kematian akibat jangkitan Covid-19.

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button