Raja Muda Perlis ingatkan semua pihak lebih bertanggungjawab kongsi situasi banjir di media sosial
ARAU – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menasihatkan pengguna media sosial agar bertanggungjawab ketika berkongsi maklumat berkaitan banjir atau bencana.
“Pastikan setiap gambar atau video yang dimuat naik disertakan dengan tarikh, masa, dan lokasi yang jelas. Ini bukan sahaja membantu pihak berkuasa mendapatkan gambaran sebenar, tetapi juga mengelakkan kekeliruan akibat penyebaran maklumat palsu,” tegas Baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Guar Nangka pada malam tadi.
Keberangkatan Tuanku Raja Muda disambut oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Isa, Ketua Polis Daerah (OCPD) Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyeru agar mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan yang telah disediakan. Baginda menjelaskan, keputusan tersebut adalah demi memastikan keselamatan, kebersihan, dan akses mudah kepada bantuan logistik.
“Meskipun mungkin sukar untuk meninggalkan kediaman, keutamaan perlu diberikan kepada nyawa dan kesejahteraan keluarga,” tambah Baginda.
Tuanku Raja Muda turut berkenan menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa peralatan solat kepada pihak pengurusan PPS itu.
Lawatan Baginda mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam situasi mencabar seperti ini. Kehadiran Baginda juga memberi semangat kepada mangsa-mangsa banjir, sekali gus memperkukuhkan semangat perpaduan dalam menghadapi bencana.
Untuk rekod, sebanyak 22 keluarga melibatkan 73 mangsa yang kini berlindung di PPS berkenaan dari kawasan antaranya Kg Rambai, Kg Banggol Sena, Kg Gial, Kg Bukit dan Kg Kuala Tunggang sejak 27 November lalu.
Terdahulu daripada itu Baginda meninjau Kg Titi Besi Arau dan Kg Rambai.