Ekonomi

BDB bangunkan perumahan mampu milik Aman Nusa, Langkawi

KUMPULAN Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikat penuh miliknya BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land) buat julung kalinya akan membangunkan Perumahan Mampu Milik Aman Nusa, Langkawi, Kedah.

Pengerusi BDB, Sr. Che Had Dhali berkata projek pembangunan berkenaan bakal dibangunkan di atas tanah seluas 16.9 ekar di Mukim Bandar Kuah dengan dengan anggaran nilai pembangunan kasar bernilai RM60.7 juta.

Menurut beliau, pembangunan projek berkenaan akan memfokuskan perumahan mampu milik dan perumahan Dasar Kerajaan Negeri Kedah (DPrNK) yang mana dijangka akan dimulakan  pada hujung tahun 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

“Pembangunan Aman Nusa bakal menyaksikan pembinaan perancangan untuk membina 120 unit rumah teres 1 tingkat dan 27 unit kedai pejabat 2 tingkat yang terbuka kepada orang ramai untuk memilikinya.

“Dalam pada itu, bagi pembinaan DPrNK pula, Kumpulan BDB akan membangunkan sebanyak 35 Unit Rumah Kasih Rakyat, 12 Unit Rumah Makmur Kedah Dan 9 Unit Rumah Aman Kedah di dalam perancangan projek Aman Nusa ini.

“Kumpulan BDB sememangnya memahami kepada permintaan dan keperluan rakyat di negeri Kedah yang sememangnya memerlukan perumahan mampu milik dan diharapkan dengan adanya Aman Nusa ini kelak, sedikit-sebanyak dapat membantu golongan B40 dan M40 di Langkawi khususnya untuk memiliki rumah mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Perumahan Mampu Milik Aman Nusa yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Hotel Adya, Kuah di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Mohd Firdaus Ahmad; Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah, Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Divisyen Hartanah Kumpulan BDB, Zawawi Wahab.

Sementara itu, Che Had turut menjelaskan bahawa pada Aman Nusa merupakan projek terbaharu di Langkawi dalam mengembangkan portfolio pelaburan dan pembangunan Kumpulan BDB di pulau berkenaan.

Ujar beliau, pada 29 Mac lalu Kumpulan BDB menerusi BDB Infra Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian jualan saham di antara Gemi Puncak Sdn Bhd dan juga Gemi Puncak Quarry Sdn. Bhd., dan sekaligus menjadikan Kumpulan BDB sebagai pemilik kuari granit yang terbesar di Langkawi yang berkeluasan 64 ekar.

Katanya lagi, Kumpulan BDB telah memiliki Darulaman Sanctuary iaitu kawasan ekopelancongan di Lubuk Semilang seluas 226 ekar, Langkawi Art Box, The Langkawi Cultural Village iaitu pembangunan komersial seluas 4 ekar yang mempunyai 35 unit perniagaan di Padang Mat Sirat serta mempunyai bank tanah di Kuala Temoyong seluas 12.4 ekar.

“Bersempena dengan penganjuran Langkawi International Maritime and Aerospace 2023 (LIMA’23), Kumpulan BDB turut menawarkan platform BDB@Langkawi dengan dua tarikan utama iaitu The Airventure dan The LAB di mana The Airventure ini sangat unik kerana ia menyediakan ruang dan kemudahan untuk orang ramai menyaksikan pertunjukan udara dari jarak dekat dan jelas kerana lokasinya berhampiran dengan ‘air strip’ serta dilengkapi dengan ruang tinjau dengan kemudahan seperti calet dua tingkat, cabana, green box dan kawasan
cocktail untuk orang awam.

“Sementara itu, The Lab pula akan memperkenalkan Food & Fun Garden yang mana membuka peluang dan ruang untuk peniaga tempatan memperkenalkan dan menjual produk dan perkhidmatan sewaktu LIMA’23 yang mana Kumpulan BDB menyediakan ruang parkir yang mencukupi serta gerai makanan dan ruang santai yang luas dan kemudahan lain seperti surau, tempat bersantai untuk menonton pameran udara dan tandas dengan dikelilingi kedai kabin kontena yang menarik.

“Dengan ini, Kumpulan BDB mengharapkan untuk terus dapat terlibat secara langsung dalam pembangunan di Langkawi sekaligus bukan sahaja dapat membangunkan pulau peranginan ini tetapi juga Negeri Kedah secara amnya,” jelasnya. – SM

(Visited 495 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button