Acara

Raja Muda Perlis ingatkan rakyat sentiasa pertahan kedaulatan negara

LANGKAWI: Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa rakyat Malaysia harus sentiasa mempertahankan kedaulatan negara dalam apa jua keadaan. Baginda menekankan bahawa negara ini tidak boleh sewenang-wenangnya dibiarkan dianggap mudah dijajah oleh mana-mana pihak.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat melawat kapal perang RFS Rezkiy (343), sebuah korvet kelas Steregushchiy milik Rusia yang berlabuh di Resort World Langkawi (RWL) sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’25).

Baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda Baginda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Laut Rusia, Laksamana Vladimir Vorobyov.

Mengiring sama ialah Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin.

Dalam kesempatan itu, Baginda turut mengingatkan bahawa sempadan Malaysia-Thailand merupakan garis pemisah penting yang merangkumi kawasan darat dan laut, sejauh kira-kira 595 kilometer, dari Perlis hingga ke Kelantan. Sempadan ini menjadi nadi kepada pelbagai aktiviti pelancongan, perdagangan dan pergerakan tenaga kerja, melibatkan negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Namun begitu, Tuanku Raja Muda menzahirkan keprihatinan terhadap pelbagai risiko yang dihadapi oleh anggota keselamatan negara dalam melaksanakan tugas pengawasan di kawasan sempadan. Ancaman daripada sindiket jenayah seperti serangan fizikal, ugutan, dan cubaan rasuah adalah antara cabaran utama. Di samping itu, mereka turut terdedah kepada risiko serangan oleh kumpulan bersenjata dan pengganas, pencerobohan, serta serangan hendap.

Anggota keselamatan juga berhadapan dengan tekanan fizikal dan mental akibat penyakit berjangkit, keletihan melampau, serta cabaran cuaca ekstrem. Titah Baginda, keberanian dan komitmen anggota keselamatan amat dihargai dan perlu sentiasa disokong oleh seluruh rakyat Malaysia demi menjaga kedaulatan dan keselamatan tanah air tercinta.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button