Nasional

Raja Muda Perlis ingatkan penjawat awam waspada dengan persepsi rakyat

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan bahawa hari ini banyak orang berlumba-lumba untuk mensensasikan berita yang belum pasti kesahihannya. Maka, para penjawat awam berwaspadalah terhadap pandangan dan persepsi rakyat.

Baginda menitahkan bahawa profesionalisme sebagai penjawat awam perlu diangkat martabatnya melalui kredibiliti dan imej yang ditonjolkan. Jangan kerana ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’. Justeru, para Pekhidmat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diseru supaya sama-samalah mencipta dan menjaga keperibadian diri yang unggul serta mempertahankan nilai integriti dalam perkhidmatan.

“Budaya Kerja Kelas Pertama” adalah penting. Kecemerlangan prestasi seseorang itu bukan sekadar diukur dengan tercapainya sasaran kerja semata-mata, bahkan perkhidmatan yang bersih dan berintegriti. Pekhidmat Majlis mesti terus berusaha ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas, efektif, berkualiti, telus, dan mendahulukan pelanggan bagi memastikan matlamat MAIPs dapat dicapai.

Oleh itu, “Budaya Kerja Kelas Pertama” yang menggabungkan integriti, disiplin dan tanggungjawab, mestilah menjadi pegangan setiap Pekhidmat Majlis dalam menjalankan tugas dengan jujur dan telus. Setiap warga MAIPs diharap sentiasa menjaga imej dan nama baik Jabatan masing-masing daripada sebarang isu dan tanggapan negatif masyarakat lebih-lebih lagi dalam zaman yang moden dan mencabar ini.

Demikian titah Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Yang DiPertua di ‘Majlis Anugerah Perkhidmatan Terpilih Dan Anugerah Keterampilan Agensi Di Bawah MAIPs Tahun 2021’ yang diadakan di Hotel Putra Regency Kangar pada petang semalam.


Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut baginda, majlis tersebut mempunyai makna yang begitu besar di mana MAIPs saban tahun sentiasa menghargai para kakitangannya sendiri serta warga kerja Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah dan Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis yang mempamerkan perkhidmatan yang baik.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, anugerah yang disampaikan bukan hanya sebagai pendorong dan pengiktirafan kepada prestasi kerja cemerlang semata-mata, tetapi ia juga menjadi penggerak transformasi dan peneraju perubahan yang positif dalam membudayakan lagi kecemerlangan.

Titah baginda lagi, ‘Teruskanlah prestasi cemerlang dan komitmen untuk kekal progresif dan produktif. Sesungguhnya ”Kerja itu ibadah, dan bekerjalah kerana Allah”.

(Visited 103 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button