Nasional

Gaji doktor kontrak diselaras, serap ke KKM – Adham Baba

BERITA menggembirakan yang dinanti-nantikan oleh seluruh pegawai perubatan kontrak Gred UD43. Ini bolehlah dianggap sebagai satu bentuk penghargaan kepada kumpulan sokongan ini kerana mereka adalah barisan hadapan negara yang berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dalam keadaan pandemik Covid-19.

Kerajaan bersetuju melaksanakan pelarasan gaji pegawai perubatan kontrak Gred UD41 kepada aras gaji Gred UD43. Khabar gembira ini disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga merancang agar petugas kontrak diserap ke kementerian itu selepas pelarasan gaji dilaksanakan.

“Mereka (UD41) akan diberikan aras gaji jawatan UD43 berbanding pegawai perubatan tetap, iaitu UD44,” katanya.

Katanya lagi, KKM turut merancang menghantar pegawai perubatan tempatan berkhidmat di England dengan terma serta syarat penghantaran kumpulan itu dikemas kini.

Langkah itu membolehkan pegawai terlibat diberi kelayakan untuk kenaikan pangkat, selain melatih mereka menjadi pakar perubatan, katanya.

Mengulas komitmen kerajaan untuk mendapatkan vaksin Covid-19, Adham berkata, selain menyertai pelan peruntukan vaksin global iaitu COVAX, kerajaan turut menjalin kerjasama dua hala dengan beberapa calon vaksin lain untuk mendapatkan akses kepada vaksin itu.

Tambah beliau, apabila vaksin diperoleh, keutamaan akan diberikan kepada petugas barisan hadapan serta kumpulan berisiko tinggi dijangkiti virus itu seperti kanak-kanak.

“Akses kepada vaksin ini mesti selamat, berkesan dan terjamin.

“Oleh itu, diharap dengan ada banyak usaha melalui kerjasama 2 hala, akses vaksin dapat diperoleh dan saya menjangkakan suku pertama tahun depan kita dapat vaksin tersebut,” katanya. – BERNAMA – SM

(Visited 457 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button