
Raja Muda Perlis Hadiri SKAW Siri Ke-37, Fokus Perkasa Kesiapsiagaan Wataniah
Kota Kinabalu, 19 Jun 2025 – Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, berkenan berangkat menghadiri Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri Ke-37 Tahun 2025 yang berlangsung di Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu.
Persidangan yang berlangsung dari 17 hingga 19 Jun 2025 ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, serta turut dihadiri oleh barisan tertinggi kepimpinan Pasukan Simpanan termasuk Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS), Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad dan Ketua Pengarah Bahagian Pasukan Simpanan (BPS), Brigedier Jeneral Sani S Omar.
Turut berangkat sama ialah Tengku Sri Temenggong Raja Terengganu, Brigedier Jeneral Datuk Seri Tengku Baharuddin, selaku Komander Rejimen 512 Askar Wataniah.
Penganjuran edisi kali ini telah diselaraskan oleh Rejimen 507 AW dan Rejimen 516 AW di bawah Bahagian Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia, dengan sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Sabah.
SKAW Siri Ke-37 menjadi medan strategik untuk memperkukuh jaringan kerjasama, memperkasa perkongsian ilmu, serta mempertingkat profesionalisme dan kesiapsiagaan keseluruhan Angkatan Simpanan Malaysia, selaras dengan aspirasi keselamatan dan pertahanan negara.
GALERI