Negeri

Raja Muda Perlis hadir acara kempen berhenti merokok

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri program ‘Kempen Berhenti Merokok’ yang diadakan sempena program ‘Hijrah Minda MAIPs Siri Ke-13 Bagi Tahun 2022’ di Masjid Al Saadah, Baroh.

Inisiatif tersebut ialah sebahagian daripada usaha pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama-sama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) menjadikan ‘Rakyat Perlis Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim
menyarankan agar semua perokok yang berhasrat ingin berhenti merokok agar mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok di mana-mana klinik kesihatan terdekat di negeri ini. Pada masa yang sama boleh mengamalkan kaedah 12‘M’ seperti :-

1. Melengah-lengahkan tindakbalas ke atas keinginan merokok seperti melambatkan masa mencari rokok atau menyalakan rokok.

2. Menarik nafas panjang; tiga kali secara perlahan-lahan sekiranya datang keinginan untuk merokok.

3. Minum air kosong dengan banyak dan jangan sekali-kali minum air seperti kopi atau teh kerana ia akan meningkatkan keinginan untuk merokok.

4. Melakukan sesuatu; seperti aktiviti lain yang boleh mengalih perhatian seseorang daripada berfikir hendak merokok

5. Mengunyah sesuatu seperti gum, lobak merah, buah-buahan dan sebagainya. Elakkan benda manis seperti gula-gula.

6. Mandi seberapa kerap apabila didatangi keinginan merokok.

7. Membasuh tangan seberapa kerap apabila didatangi keinginan merokok.

8. Melakukan senaman regangan sekiranya mengantuk kerana tidak merokok.

9. Memohon doa untuk menguatkan azam dan usaha agar berjaya berhenti merokok.

10. Menjauhkan diri daripada perokok atau kawan-kawan yang kerap merokok.

11. Mengelakkan diri daripada rasa bosan atau situasi yang mendorong kepada
merokok contohnya dengan melakukan aktiviti bersukan dan beriadah, dan

12. Perokok disarankan menginsafi dan meyakinkan diri tentang manfaat jika berhenti merokok. Contohnya dapat menjimatkan wang dan mendapat kesihatan yang baik.

Di program tersebut juga Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs bernilai RM11,600 untuk diagihkan oleh amilnya, Rozali Hashim kepada seramai 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah berkenaan.

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button